Penyebaran berita dan maklumat palsu antara perkara yang membimbangkan untuk masyarakat kita pada hari ini. Ia boleh dihantar dan diterima secara pantas dengan hanya melalui media sosial atau aplikasi permesejan. Dalam usaha untuk mengurangkan isu ini, WhatsApp bakal memperkenalkan sejumlah fungsi untuk menggalakkan pengguna menilai kesahihan mesej yang diterima.
WhatsApp pada sebelum ini telah hadir dengan fungsi carian gambar berbalik melalui Google untuk memastikan kesahihan gambar berdasarkan info yang tersebar. Untuk memastikan pengguna lebih peka dengan penyebaran berita palsu ini, WhatsApp bakal menyediakan maklumat angka mengenai mesej yang telah dihantar kepada pengguna lain. Maklumat ini akan dipaparkan apabila pengguna menghantar mesej yang dihantar ke hadapan (forwarded message) kepada pengguna lain, dan kemudian, membuka paparan info mesej tersebut.
Selain memperlihatkan angka, WhatsApp juga akan memaparkan info yang lebih jelas mengenai mesej yang di hantar ke hadapan ini. Apabila seseorang pengguna menghantar mesej yang sama secara kerap melebihi lima kali, ia akan dilabel dengan “frequently forwarded“. Fungsi ini sekaligus dapat memberitahu pengguna mengenai status mesej tersebut, dengan kebarangkalian ia mungkin mengandungi maklumat yang kurang benar atau info berasaskan spam.
Fungsi ini dilihat masih diuji secara percubaan untuk pengguna yang menggunakan WhatsApp beta. Ia dijangka akan diperluaskan kepada lebih ramai pengguna sebaik sahaja fungsi ini berjaya mencapai fasa stabil. Jadi bagi anda yang sedang menggunakan peranti Android dan ingin mencubanya dengan lebih awal, anda boleh memasang WhatsApp beta versi 2.19.80 melalui halaman APK Mirror.