Carian
Apple Card Diperkenalkan – Penawaran Kad Kredit Daripada Apple
March 26, 2019 Aman

Bersama-sama pengenalan pelbagai perkhidmatan langganan berbayar, pihak Apple turut membuat kejutan dengan memperkenalkan penawaran kad kredit mereka tersendiri, dinamakan Apple Card. Walaubagaimanapun, penawaran ini hanya untuk Amerika Syarikat sahaja buat masa ini.

Apple Card dilihat ditujukan kepada pengguna iPhone, memandangkan ia akan terikat dengan aplikasi Apple Wallet pada iPhone. Melaluinya, pengguna boleh mendapat akses kad kredit Apple Card tanpa sebarang caj tahunan seperti kad kredit biasa, atau keperluan melalui pelbagai proses permohonan yang menyukarkan.

Apple Card

Menariknya juga, pengguna akan turut menerima ganjaran pulangan mata wang kembali untuk perbelanjaan menggunakan Apple Card. Pelbagai pembelian dengan Apple seperti di App Store, perkhidmatan Apple dan Apple Store akan menerima pulangan sebanyak 3%, sementara pembelian menggunakan Apple Card melalui Apple Pay akan menerima pulangan 2%.

Selain daripada itu, pengguna turut boleh memahami perbelanjaan mereka dengan mudah melalui aplikasinya, selain turut melihat berapa mereka belanjakan sesuatu minggu, dan dimana perbelanjaan berkenaan berlaku.

Disamping itu, pengguna turut boleh melihat berapa kadar caj tambahan akan dikenakan – dan bagaimana untuk berjimat daripada membayar caj tambahan berkenaan.

Akhir sekali, Apple turut menawarkan kad kredit berbentuk fizikal untuk digunakan di lokasi-lokasi yang tidak menerima Apple Pay. Menariknya, kad kredit berbentuk fizikal ini hadir dengan rekaan eksklusif tanpa sebarang nombor kad, kod sekuriti CVV, atau tarikh luput. Semua informasi ini tersimpan pada aplikasi Apple Wallet pada peranti pengguna.

Apple bekerjasama dengan pihak Mastercard dan Goldman Sachs dalam menjayakan penawaran ini. Ia tidak diketahui lagi bilakah penawaran sama akan disediakan untuk pengguna luar Amerika Syarikat.

Komen