Peranti Realiti Maya HTC Vive Focus Plus Akan Dijual Bermula April 15 Pada Harga Sekitar RM3200
HTC

Peranti Realiti Maya HTC Vive Focus Plus Akan Dijual Bermula April 15 Pada Harga Sekitar RM3200

Diterbitkan pada Mac 26, 2019 oleh .

Di acara Vive Ecosystem yang berlangsung di Shenzhen, China, HTC telah mengumumkan bahawa mereka akan mula menjual peranti realiti maya terbaru mereka, HTC Vive Focus Plus bermula April 15 tidak lama lagi.

Peranti Vive Focus Plus ini adalah peranti realiti maya kendiri terbaru daripada HTC yang tidak perlu disambungkan secara fizikal kepada komputer untuk digunakan. Peranti ini hadir dengan kanta fresnel yang memperbaiki lagi kualiti paparan realiti maya dan juga mengurangkan efek pintu skrin (doorscreen effect) yang membelenggu banyak peranti realiti maya sebelum ini.

Oleh kerana Vive Focus Plus ini adalah peranti realiti maya kendiri, ia hadir dengan bateri terbina sebesar 4000mAh. Ia boleh dicas menggunakan kabel USB 3.1 Type-C, dan hadir dengan teknologi pengecasan Qualcomm QuickCharge 3.0.

Sama seperti peranti Vive Focus yang diumumkan sebelum ini, Vive Focus Plus juga hadir dengan pengawal 6DOF (6 degrees of freedom) dan sokongan untuk pelbagai platform, termasuklah komputer desktop, konsol permainan, peranti penstriman video dan kamera 360 darjah.

Menurut HTC lagi, Vive Focus Plus ini akan dijual di 25 pasaran di seluruh dunia pada harga $800 (RM3200), dan akan hadir dengan sokongan untuk 19 jenis bahasa.

Setiap pembelian peranti ini akan hadir dengan lesen perusahaan yang akan memberi setiap pengguna akses kepada 250 aplikasi Vive Wave yang boleh digunakan terus pada peranti Vive Focus Plus ini.


TIPS & ULASAN