Cari @ Amanz

Huawei kini merupakan salah satu jenama telefon pintar terkemuka dunia, menduduki tangga kedua dari segi pengeluaran, hanya dibelakang Samsung. Bercakap mengenai Huawei, dua keluarga telefon pintar yang sangat popular dan dikenali ramai adalah siri-P dan juga siri-Mate.

Seperti ramai sedia maklum, siri Mate akan dikemaskini sekitar penghujung tahun, sementara siri-P adalah pada awal tahun.

Siri Huawei P pada awalnya telah dimulakan pada tahun 2012 yang lepas. Ketika itu, ia hadir dengan nama Huawei Ascend P1, dan masih menggunakan antaramuka asas Android tanpa penambahan EMUI seperti pada hari ini. Bergerak kehadapan, bermula Huawei P9, pihak Huawei telah mula memfokuskan kepada sokongan fotografi pada telefon pintar berkenaan melalui kerjasama dengan pihak Leica.

Sejak kerjasama berkenaan, sokongan rakaman gambar pada peranti Huawei telah meningkat drastik. Huawei kini memegang takhta melalui skor DXOMark sehingga hari ini. Dan melalui Huawei P30 Pro, mereka terus membawa sokongan rakaman gambar dan video pada peranti mereka setapak lagi kehadapan.

Huawei P30

Rekabentuk

Huawei P30 Pro
Skrin 6.47” OLED
Cip Kirin 980 2.6Ghz
Memori 8GB RAM
Storan 256GB / 512GB + NM
Kamera Utama 40MP + 20MP + 8MP + TOF
Kamera Hadapan 32MP
Sistem Android 9 Pie, EMUI 9.0
Bateri 4200 mAh
Lain Pengecasan Nirwayar, Kalis Air

Huawei P30 Pro membawakan rekaan dengan mengekalkan sejumlah elemen seumpama Huawei P20 sebelum ini – terutamanya dari segi susunan kamera pada bahagian belakang. Ia menawarkan rekaan kerangka berasaskan kaca, dan kini Huawei P30 Pro turut menggunakan rekaan skrin melengkung pada tepi bagi memberikan lebih keselesaan ketika memegang peranti berkenaan.

Huawei P30 Pro tidak menyertakan sokongan bicu audio 3.5mm, berbeza dengan “adiknya” Huawei P30. Bercakap mengenainya, wakil Huawei mengatakan kepada kami, hal ini disebabkan dalam usaha untuk memastikan Huawei P30 Pro menyertakan sokongan kalis air dengan piawaian lebih tinggi.

Huawei P30 Air

Pada bahagian hadapan, ia menyertakan skrin bertakuk kecil. Berbeza dengan Huawei P20 Pro sebelum ini, kini tiada lagi butang pengimbas cap jari fizikal dihadapan. Hal ini adalah disebabkan oleh penggunaan pengimbas cap jari pada skrin – sekaligus menawarkan paparan skrin yang lebih luas berbanding sebelumnya.

Huawei P30 Pro

Pada bahagian belakang, kerangka berasaskan kaca yang digunakan sedikit memerangkap kesan cap jari. Disamping itu, ia juga memantulkan imej – sekaligus menjadikan kadang-kala rakaman kerangka belakang dengan lebih dekat agak sukar. Huawei turut menyertakan sokongan pengecasan nirwayar pada Huawei P30 Pro ini, selain turut menyertakan sokongan pengecasan berbalik yang telah diperkenalkan pada Mate 20 sebelum ini.

Susunan kamera juga adalah lebih kurang seperti Huawei P20 Pro sebelum ini, tetapi kali ini ia turut menyertakan sebuah sensor TOF pada bahagian bawah susunan tri-lensa. Huawei mengatakan ia disusun sebegitu dan bukannya seperti siri Mate 20 sebelum ini kerana siri-P lebih memfokuskan kepada rakaman gambar dan video, dan menjadi kebiasaan untuk pengguna memegangnya secara melintang ketika merakamkan gambar.

Huawei P30 Pro

Pada bahagian bawah peranti juga, ia menyertakan sokongan slot untuk kad NM – iaitu kad penambahan storan khusus yang ditawarkan oleh pihak Huawei. Bersebelahan dengannya adalah port pengecasan USB-C yang menawarkan sokongan pengecasan pantas.

Huawei P30 Pro

Kamera Dengan Zoom Sehingga 50x

Bercakap mengenai telefon pintar hari ini, semestinya salah satu ciri utama yang menjadi fokus ramai adalah sokongan kamera, Apatah lagi dengan siri-P yang sememangnya memfokuskan kepada sokongan kamera.

Melalui Huawei P30 Pro, ia menyertakan sokongan kamera swafoto 32-megapixel, sementara tri-kamera belakang dengan gabungan sensor TOF.

Pada tri-kamera belakang, ia menyertakan lensa utama 40-megapixel, 20-megapixel untuk rakaman sudut lebar, dan 8-megapixel untuk zoom. Bahagian tetapan untuk rakaman gambar adalah lebih kurang sama seperti sebelum ini, dan melalui Huawei P30 Pro, pihak Huawei memfokuskan kepada sokongan zoom.

Tetapan kamera utama sedia menyertakan sokongan rakaman sudut lebar, zoom 1x, zoom 5x, zoom 10x, dan kebolehan meleretkan jari di skrin kepada zoom sehingga 50x.

Huawei P30 Pro

Daripada percubaan kami, ia menghasilkan rakaman gambar yang sangat cantik, dan kebolehan merakamkan gambar pada jarak jauh dengan lebih mudah melalui peranti mudah-alih tanpa kehilangan kejituan hasil rakaman.

Berikut merupakan contoh rakaman daripada ujian ringkas kami untuk penggunaan zoom dari 1x, 5x, 10x dan 50x. Untuk sokongan 50x, ia menggunakan sokongan zoom secara digital, dan lebih kepada memerlukan penggunaan tripod untuk hasil yang cantik. Percubaan kami menggunakan tangan biasa membuatkan agak sukar merakamkan gambar dengan cantik pada zoom 50x.

Namun, satu perkara yang kagumkan kami adalah keupayaan untuk zoom nirhilang sehingga 10x – sesuatu yang baru untuk ramai pengguna seluruh dunia untuk dilakukan pada telefon pintar.

Huawei P30 Pro Contoh Rakaman

Huawei P30 Pro

Dengan fokus terhadap kamera, Huawei P30 Pro juga turut menyertakan sejumlah ciri-ciri baru seperti kebolehan rakaman video menggunakan dwi-lensa belakang pada masa yang sama, sokongan rakaman gambar dengan cantik dibawah keadaan cahaya gelap, dan mod-mod baru yang lain. Buat masa ini, kami tidak berpeluang mencubanya lagi, dan akan berkongsi lanjut mengenai ciri-ciri ini dalam perkongsian akan datang.

Bateri Dan Lain-Lain

Bersama-sama pelbagai penawaran berspesifikasi tinggi, Huawei turut menyertakan bateri berkapasiti 4200mAh pada telefon pintar ini. Pada siri P30 Pro kali ini, ia turut hadir dengan sokongan pengecasan nirwayar, selain kebolehan mengecas peranti lain secara pengecasan nirwayar berbalik. Huawei turut mengatakan ia hadir dengan sokongan grafik lebih baik bersama-sama cip Kirin 980, sekaligus membolehkan anda menikmati pelbagai permua dengan lancar pada telefon pintar ini.

Huawei P30 Fortnite

Pada bahagian atas peranti juga, sensor IR turut disertakan bagi memudahkan pengguna mengawal peralatan elektronik lain seperti penghawa dingin dan televisyen terus melalui telefon pintar Huawei P30 Pro.

Huawei P30 Pro

Melengkapkan telefon pintar ini adalah sistem operasi EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie, dan ia menawarkan sedikit perubahan dari segi rekaan ikon. Sejumlah ciri-ciri baru turut disertakan pada telefon pintar ini, termasuk sokongan Digital Balance yang membolehkan anda memantau penggunaan peranti seharian anda, sekaligus mengelak anda daripada membazirkan masa pada aplikasi yang tidak produktif.

Penutup

Huawei dilihat memfokuskan kepada keupayaan fotografi pada telefon pintar ini, terutamanya pada sokongan zoom. Kami sendiri kagum dengan sokongan rakaman gambar yang dibawakan oleh peranti ini. Kami di Amanz mungkin membawakan ulasan penuh peranti ini, selain berkongsi pelbagai hasil rakaman gambar menggunakan telefon pintar Huawei P30 Pro ini dalam hari-hari akan datang. Di Malaysia, peranti ini dijangka ditawarkan bermula 6 April 2019 kelak. Harga jualannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Memandangkan Huawei sering hadir dengan harga penawaran yang kompetitif, sama-sama kita berharap agar ia diteruskan melalui siri Huawei P30 ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd