Menonton filem di wayang lebih seronok kerana skrin yang besar menawarkan visual berkualiti tinggi yang dipadankan dengan sistem audio yang imersif. Dengan kemajuan teknologi semasa, pengalaman seakan di panggung wayang boleh dinikmati di rumah menerusi alat audio visual terkini. Di Samsung Forum 2019, dua soundbar baharu telah dilancarkan iaitu HW-Q70R dan HW-Q60R.
Kedua-dua soundbar ini dibangunkan menerusi kerjasama Samsung Audio Lab dan Harman Kardon bagi memberikan kualiti audio yang terbaik. Ia menyokong teknologi Adaptive Sound dan Acoustic Beam yang dibangunkan oleh Samsung. Adaptive Sound mengubah tetapan audio secara automatik mengikut kandungan yang dimainkan pada TV Samsung QLED 2019 menerusi kecerdasan buatan. Acoustic Beam pula memberikan pengalaman audio 360 darjah tanpa menggunakan speaker tambahan pada bahagian belakang.
HW-Q70R ialah model yang lebih premium kerana hadir dengan sokongan Dolby Atmos dan DTS:X serta subwoofer bersaiz lebih besar. Sebelum ini kedua-dua format audio ini hanya ditawarkan pada model HW-N950 dan HW-N850 yang merupakan dua model soundbar paling premium ditawarkan oleh Samsung. Satu lagi perbezaan paling ketara di antara HQ-Q70R dengan model soundbar Samsung sebelum ini ialah ia lebih nipis dengan ketinggian 2.3 inci sahaja. HW-Q70R dan HW-Q60R akan dijual bermula April namun harga masih belum diumumkan.