Pandang Pertama: Microsoft Edge Berasaskan Enjin Chromium – Internet Explorer Generasi Baru?

Pandang Pertama: Microsoft Edge Berasaskan Enjin Chromium – Internet Explorer Generasi Baru?

Diterbitkan pada Mac 26, 2019 oleh .

Internet Explorer adalah pelayar web yang paling teruk pernah wujud. Ia ketinggalan zaman, perlahan, mempunyai masalah prestasi dan dibenci ramai. Microsoft kemudian hadir dengan pelayar web baru Microsoft Edge. Satu pelayar web generasi baru dari Microsoft yang ingin cuba bersaing dengan Chrome, Safari dan pelayar web lain.

Walaupun Microsoft Edge adalah antara pelayar web yang terpantas dan mempunyai prestasi yang hebat, ia masih tidak mampu bersaing dengan pelayar web lain – atas kekurangan fungsi, ciri dan banyak lagi. Pada tahun lepas, Microsoft dengan rasminya sedang membangunkan Microsoft Edge berasaskan enjin Chromium. Dengan pertukaran enjin pelayar web ke Chromium, pasti Microsoft Edge akan boleh bersaing – kerana enjin ini mampu menyokong pelbagai perkara.


Semalam, fail pemasangan Microsoft Edge berasaskan enjin Chromium telah tertiris dan arena web dan saya sempat pasang dan mencuba. Dalam artikel ini akan saya kongsikan pandang pertama dan pendapat saya mengenai pelayar web ini.

Rekaan

Rekaan Microsoft Edge biasa dan Microsoft Edge Chromium sedikit berbeza. Pada versi enjin Chromium ini, pelayar web Google Chrome masih kelihatan tetapi ia mempunyai sedikit elemen-elemen Microsoft Edge biasa. Apabila tab baru dibuka, apa yang terpapar adalah bar carian Bing dan ikon pintasan akses pantas kepada laman web yang kerap digunakan. Manakala pada Microsoft Edge biasa ia memaparkan laman web yang kerap dikunjung serta berita-berita terkini. Pada versi Chromium, berita-berita perlu diakses dengan menekan tab khas di bahagian bawah.

This slideshow requires JavaScript.

Menu akses tetapan juga sedikit berbeza. Pandangan saya, ia mirip Firefox tetapi dengan elemen rekaan Microsoft Edge dikekalkan. Secara keseluruhan, ia tidak janggal digunakan digunakan kerana ia kelihatan seperti satu pelayar web yang sudah kita kenali.

Ciri Utama

Sudah tentu ciri yang kita mahukan adalah sokongan pelbagai pemalam. Dengan enjin Chromium digunakan, pelayar web ini akan menyokong banyak pemalam dari Google Web Store. Akan tetapi, satu tetapan khas perlu diaktifkan terlebih dahulu kerana, pemalam default yang disokong oleh pelayar web ini adalah melalui Microsoft Store. Atas percubaan saya, memasang pemalam secara manual (muat turun fail .crx) tidak disokong dan ia perlu dipasang melalui store-store sahaja.

Prestasi

Untuk prestasi, saya yakin pasti akan ada yang risau dengan penggunaan RAM. Pada Google Chrome, ia menggunakan jumlah RAM yang tinggi dan penggunaan tenaga pemproses yang ekstrem. Microsoft Edge versi Chromium menggunakan jumlah RAM yang sedikit berbanding Google Chrome. Tetapi, Microsoft Edge versi biasa kekal menjuarai dengan penggunaan jumlah RAM yang sangat sikit.

Ujian menggunakan HTML5 pula, Microsoft Edge versi biasa dilihat tidak setanding dengan dua pelayar web Chromium ini. Tetapi Microsoft Edge versi Chromium dan Google Chrome mempunyai prestasi yang setanding.

Tema Gelap?

Disebabkan ia adalah berasaskan Chromium, jadi banyak ciri-ciri dan fungsi-fungsi dari Chromium dapat diuji melalui flags yang terbina. Tetapi, ini adalah pelayar web Edge – jadi untuk mengakses flags ia perlu diakses melalui ‘edge://flags/’. Antara tetapan yang saya cuba aktifkan adalah tema gelap. Mengaktifkan melalui flags tidak menyebabkan sebarang perubahan.

Akan tetapi, jika tetapan Windows 10 anda menggunakan mod tema gelap – pelayar web ini turut akan berubah dan selari dengan tetapan Windows 10.

Penyelarian Akaun & Tetapan

Saya memasang Microsoft Edge versi Chromium ini pada Windows 10 dengan akaun Microsoft diselarikan. Disebabkan Microsoft Edge versi biasa saya telah saya mengimport segala bookmark laman web dan sejarah dari Chrome dan terus diselarikan dalam akaun Microsoft – Microsoft Edge Chromium akan turut selarikan data-data yang sama.

Untuk tetapan pula, versi ini telah mengikut cara Google Chrome di mana tetapan akan dibuka dalam tab dan bukan seperti Microsoft Edge biasa yang mempunyai tetingkap khas di bahagian sisi pelayar web. Tetapan juga mempunyai rekaan yang kemas dan lebih mudah digunakan.


Walaupun penggunaan RAM sedikit tinggi berbanding dari Microsot Edge biasa, apa yang penting adalah ciri dan fungsi yang diberikan, prestasi hebat dan penggunaan RAM adalah lebih rendah dari Google Chrome. Banyak perkara menarik dari pelayar web ini membuatkan saya ingin bertukar terus dari Google Chrome.

Walau bagaimanapun, pelayar web ini hanya akan mempunyai versi 64-bit sahaja dan peranti Windows dengan 32-bit mungkin tidak akan berpeluang mencubanya.

Jika anda ikuti perkembangan pembangunan Microsoft, anda akan perasan yang Microsoft sehingga hari ini telah mempunyai beberapa pemalam untuk Chrome. Antara yang terkini adalah Windows Defender dan Web Activities.

Bagi yang ingin berpindah dan risau akan data-data seperti bookmark Google Chrome, sejarah web yang di kunjung – anda boleh cuba biasakan diri dengan Windows Timeline dan pemalam Web Activities. Ini kerana pada saya, ia sudah mencukupi dan agak menarik untuk digunakan.

Kelak, apabila pelayar web ini sudah dilancarkan – saya ingin cuba terus jadikannya sebagai pelayar web harian saya. Setakat ini, versi tertiris yang saya gunakan ini sudah mempunyai banyak perkara menarik dan pada saya sudah cukup stabil. Harapnya, versi stabil kelak akan hadir dengan penggunaan RAM yang lebih rendah dan setaraf dengan Microsoft Edge biasa.


TIPS & ULASAN