Cari @ Amanz

Setelah berbulan diacah dengan pelbagai maklumat mengenai rekaan serta spesifikasi tertiris, Huawei P30 Pro dan P30 akhirnya dilancarkan di Paris sebentar tadi. Siri P bagi Huawei ialah peranti saingan kepada siri Galaxy S keluaran Samsung dan iPhone keluaran Apple. Sebagai pengeluar peranti ketiga terbesar di dunia tahun lalu, Huawei agresif menghasilkan peranti dengan fungsi baharu yang tidak ditemui pada pengeluar lain. Berikut ialah 10 perkara paling menarik yang boleh ditemui pada Huawei P30 Pro dan P30.

1.Sistem Catur Kamera

Huawei P30 Pro hadir dengan sokongan sistem catur kamera yang menggabungkan Sensor 40+20+8+3D TOF Megapixel pada bahagian belakang. Ini menjadikannya peranti pertama dilancarkan dengan sistem kamera yang menarik ini. Sistem kamera pada Huawei P30 tidak kurang hebatnya dengan kombinasi 40+16+8 Megapixel. Kedua-dua peranti juga hadir dengan sistem ultra sudut lebar yang sebelum ini ditawarkan pada siri Mate 20. Dari markah yang dicatatkan dalam ujian DXOMark, Huawei mengekalkan dominasi mereka di dalam kemampuan kamera pada peranti mudah alih. Tiga peranti Huawei iaiatu P30 Pro, Mate 20 Pro dan P20 Pro kini berada di tangga teratas.

2.Zoom Nirhilang Sehingga 10X – Zoom Digital Sehingga 50X

Pada Huawei P30 Pro, mereka buat pertama kali menggunakan sistem zoom periskop  pada peranti keluaran mereka. Sebelum ini sistem yang serupa digunakan pada Asus Zenfone Zoom yang dilancarkan empat tahun yang lalu. Dengan sistem periskop ini, P30 Pro mampu melakukan zoom nirhilang sehingga 10X dan zoom digital sehingga 50X. Ini adalah peningkatan dari zoom hibrid 5X dan zoom digital 20X pada Mate 20 Pro sebelum ini. Pada P30 pula, terdapat sokongan zoom optikal sehingga 3X, hibrid 5X dan digital 30X. Ini masih lebih tinggi berbanding peranti seperti iPhone XS Max yang hanya menyokong zoom optikal 2X dan digital 10X sahaja pada waktu ini.

3.Pro-Bokeh – Bokeh Lebih Tepat

Kamera 3D TOF pada P30 Pro digunakan untuk mengimbas jarak objek di hadapannya. Terdapat pelbagai fungsi unik boleh dilakukan apabila kamera yang boleh melihat secara 3D ini digunakan. Proses memisahkan latar belakang dengan objek di hadapan dapat dilakukan dengan lebih mudah. Hasilnya ialah mod Pro-Bokeh yang kelihatan lebih tajam, tepat dan semula jadi jika dibandingkan dengan sistem dwi-kamera biasa.

4.Rakaman Gambar Waktu Malam Yang Menakjubkan – ISO Mencecah 409600

Kedua-dua P30 Pro dan P30 hadir dengan kemampuan rakaman malam yang dipertingkatkan. Walaupun di dalam situasi cahaya serendah 1 Lux, gambar yang diambil menggunakan kamera peranti boleh kelihatan terang. Ini mampu dilakukan kerana penggunaan sensor baharu SuperSensing. Sensor sebesar 1/1.7 inci ini lebih besar berbanding sensor pada peranti pesaing. Teknologi baharu sensor RYYB ini juga meningkatkan kemampuan menangkap cahaya sebanyak 40%. Hasilnya ialah kamera P3o Pro mempunyai tahap ISO mencecah 409600 manakala pada P30 pula tahap ISO mencecah 204800. Sebagai perbandingan kamera P20 Pro tahun lalu mempunyai tahap ISO 102400 sahaja.

5.Fungsi Seakan Kinect

Selain itu dengan kamera 3D TOF, pengguna boleh menggunakan tubuh mereka sebagai alat kawalan permainan. Fungsi ini sama seperti yang digunakan pada Kinect sebelum. Malahan ia sebenarnya diperlihatkan pertama kali untuk telefon pintar pada Honor View20 yang dilancarkan hanya beberapa bulan yang lalu. Pengguna juga boleh mengimbas objek secara tiga dimensi dengan lebih mudah. Tahun lalu Mate 20 Pro menyokong sistem yang sama tetapi kamera 3D pada bahagian hadapan menyukarkan proses imbasan yang tepat.

6.Pengecasan Pantas Sehingga 40W

Bateri P30 Pro sebesar 4200 mAh adalah yang terbesar di dalam kelasnya setakat ini. Ia mampu bertahan sepanjang hari dengan sekali caj. Sekiranya kehabisan bateri pengguna tidak perlu risau kerana sistem pengecasan SuperCharge 40W disokong. Peranti dapat dicaj sehingga 70% dalam masa 30 minit. Pada P30 sistem pengecasan SuperCharge 22.5W sahaja diberikan untuk mengecas bateri 3650 mAh. Ini masih lebih pantas berbanding 18W pada Galaxy S10, iPhone XS Max dan Pixel 3.

7.Pengecasan Nirwayar Dua Arah

Tidak cukup dengan pengecasan pantas berwayar, P30 Pro menyokong pengecasan nirwayar 15W yang merupakan format terpantas Qi buat masa ini. Selepas memperkenalkan fungsi Wireless Reverse Charge menerusi Mate 20 Pro, fungsi ini diberikan juga kepada P30 Pro. Selain telefon pintar, ia turut boleh mengecas fon telinga dan jam tangan pintar apabila diperlukan. Richard Li, CEO bahagian peranti mudah alih Huawei sempat berseloroh semalam bahawa tetikus komputer, mesin pencukur dan berus gigi elektrik turut boleh dicas oleh sistem Wireless Reverse Charge.

8.Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin

Untuk mengekalkan rekaan skrin memanjang, peranti kini tidak lagi mempunyai ruang yang besar pada bahagian dagu. Ini menyebabkan pengimbas cap jari mula diletakkan pada bahagian belakang peranti. Tetapi ramai pengguna masih merasakan pengimbas pada bahagian hadapan adalah lebih praktikal. Pada Huawei P30 Pro dan P30, sistem pengimbas cap jari dalam skrin disertakan. Namun begitu sistem pengimbas optikal digunakan bukan ultrasonik seperti yang digunakan pada Galaxy S10 Plus.

9. Butang Fizikal Menyeru Google Assistant

Google mengumumkan lebih banyak pengeluar akan menyertakan butang khas untuk menyeru Google Assistant di MWC. Nokia, Xiaomi dan Vivo adalah pengeluar terawal yang menyokong fungsi yang sebelum ini hadir pada peranti Pixel. Huawei P30 dan P30 sebenarnya tidak mempunyai butang khas tetapi pengguna boleh menyeru Google Assistant dengan pantas dengan menekan butang kuasa selama 1 saat. Proses memberikan arahan suara menjadi lebih pantas dengan wujudnya fungsi baharu ini.

10.Kembalinya Pembesar Suara Pada Bahagian Bawah

Huawei P30 Air

Satu rungutan kami mengenai Mate 20 Pro ialah ia menggunakan lubang pengecas USB-C sebagai lohong udara pembesar suara. Ia adalah terlalu kecil dan mengakibatkan prestasi audio peranti tersebut terjejas. Apabila peranti dicas misalnya, kekuatan audio menjadi rendah kerana pengecas menghalang laluan udara. Pada P30 dan P30 Pro, pembesar suara tidak lagi berkongsi lohong udara dengan USB-C.  Ini amat kami alu-alukan. Bagi mereka yang merindui bicu audio pula, P30 mengembalikannya semula dan anda tidak perlu bergantung kepada aksesori audio nirwayar.

Ini ialah senarai ringkas kami. Apa pula pada pandangan anda adalah fungsi paling menarik pada Huawei P30 dan P30 Pro. Adakah ia akan menjadi peranti pilihan untuk tahun 2019 anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd