Honor 8C | |
---|---|
Skrin | 6.26” IPS LCD, HD+, 19:9 |
Chipset | Snapdragon 632 |
CPU | 4 x Kryo 250 Gold 1.8 GHz 4 x Kryo 250 Silver 1.8 GHz |
GPU | Adreno 506 |
Memori | 3GB RAM |
Storan | 32GB + mikroSD |
Kamera Utama | 13MP f/1.8 + 2MP |
Kamera Hadapan | 8MP f/2.4 |
Sambungan | WiFi 802.11 b/g/n Bluetooth 4.2 A-GPS, GLONASS Mikro-USB |
Sistem | Android 8.1 Oreo |
Bateri | 4000 mAh, pengecasan 10W |
Berat & Ketebalan | 167.2g, 7.98mm |
Pengeluar pada saat ini dilihat berlumba-lumba dalam menawarkan telefon pintar mampu milik untuk pengguna. Ia sebuah segmen yang cukup kompetitf, yang mana pengeluar perlu menawarkan spesifikasi yang lebih berkuasa pada bajet yang terhad. Pesaingan yang sihat antara mereka akan membolehkan peranti yang lebih baik dihasilkan, disamping mengekalkan harga jualannya pada tahap yang rendah. Ia sangat menguntungkan pengguna kerana dapat menikmati peranti yang seimbang tanpa perlu berbelanja lebih.
Sebelum ini, kita telah menyaksikan Redmi hadir dengan Redmi Note 7 dan Redmi 7 – iaitu sebuah siri yang hadir dengan keupayaan dwi-kamera dan prestasi kelas pertengahan. Kemudian, Samsung turut bersaing dalam segmen ini – melalui perkenalan siri Galaxy A dengan mempertaruhkan sambungan USB-C dan paparan Super AMOLED. Pada minggu lalu, Realme juga telah menawarkan Realme 3 untuk pasaran tempatan dengan penawaran cip Helio P60 pada harga bermula di bawah RM600.
Honor pada hari ini telah melancarkan Honor 8C bagi memeriahkan lagi segmen peranti bajet ini. Ia diwujudkan sebagai jawapan balas kepada pelancaran Redmi 7 yang juga menawarkan spesifikasi yang hampir serupa. Peranti ini membawakan cip kelas pertengahan, kebolehan dwi-kamera, dan hadir dengan kapasiti yang besar. Sekilas pandang, Honor 8C ini berada di bawah model Honor 10 Lite, namun masih menyajikan sejumlah fungsi yang menarik pada harga mampu-milik.
Rekaan
Sebagai permulaan, Honor 8C menawarkan spesifikasi kelas pertengahan asas, seperti kehadiran skrin IPS LCD pada saiz 6.26-inci HD+, cip Snapdragon 632, memori 3GB RAM, dan storan sebesar 32GB bersama slot mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.
Sekilas pandang binaan belakang peranti ini, ia mengingatkan saya kepada rekaan Huawei Y Max. Perletakkan kamera dan pengimbas cap jarinya adalah serupa, namun tidak menyajikan kemasan kulit tiruan di bahagian ini. Rekaan belakang Honor 8C hadir dalam warna rata, tanpa sebarang kemasan berasaskan warna cerun (gradient) seperti Honor 10 Lite. Namun ia masih memberi tampilan glossy bagi memberi penampakan peranti yang lebih menarik.
Dari segi sambungan, Honor 8C masih menggunakan sambungan mikro0USB pada bahagian bawah, berbanding sambungan USB-C yang sudah mula digunakan pada kebanyakan peranti bajet. Di bahagian bawah ini turut menempatkan saluran pembesar suara yang dibina berasaskan mono. Di bahagian sisi kiri, ia turut mendatangkan slot dwi-sim, yang membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim berasingan.
Rekaan hadapannya hadir dengan paparan berskrin penuh sebesar 6.26-inci HD+, dengan nisbah 19:9 dan panel berasaskan IPS LCD. Kualiti paparannya dilihat sesuai untuk kegunaan harian, namun menyajikan sedikit penampakan piksel apabila diteliti. Bagi menjayakan rekaan skrin penuh, ia telah disajikan dengan rekaan bertakuk untuk perletakkan kamera hadapan, earpiece, dan sensor proximity. Bahagian takuk ini masih boleh disorokkan sekiranya anda kurang selesa dengan kehadiran binaan ini.
Dari segi variasi, Honor 8C hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja untuk pasaran Malaysia, iaitu 3GB RAM dan storan dalaman 32GB. Tiada sebarang variasi 4GB RAM dan storan 64GB ditawarkan seperti yang hadir pada Realme 3. Walaupun tidak menawarkan variasi storan yang lebih tinggi, ia masih membawakan slot kad mikroSD dengan sokongan sehingga 256GB, sekiranya storan dalaman peranti ini terhad untuk kegunaan anda.
Sistem
Honor 8C masih dijana dengan versi EMUI terdahulu, menerusi EMUI 8.2 yang dibina berasaskan sistem operasi Android 8.1 Oreo. Antaramuka ini dilihat masih kelihatan sama seperti iterasi EMUI sebelum ini, dengan paparan ikon yang sedikit berusia untuk kegunaan hari ini. Ia juga telah menawarkan pilihan untuk pengguna mengaktif dan mematikan talam aplikasi, bagi memudahkan aplikasi ditempatkan pada ruangan yang berasingan.
EMUI 8.2 masih menyajikan sejumlah fungsi menarik, seperti fungsi full-screen gesture dengan menyajikan kawalan navigasi seumpama iPhone X. Ia juga hadir dengan fungsi one-handed mode untuk memudahkan anda mengawal peranti melalui satu tangan. Bagi membolehkan anda memainkan permainan tanpa gangguan, ia menyajikan fungsi Game Suite dengan menyajikan kawalan untuk mematikan notifikasi ketika sesi permainan sedang dijalankan.
Prestasi
Honor 8C telah membawakan cip Snapdragon 632 iaitu cip yang sama digunakan pada Redmi 7. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 250 Gold 1.8 GHz + 4 x Kryo 250 Silver 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 506. Cip ini turut dibina berasaskan 14nm, yang dilihat dapat memberi penjimatan tenaga yang lebih baik untuk bateri. Apabila dibandingkan, prestasi cip ini setara dengan cip Samsung Exynos 7904 pada Galaxy A30/M20, dan berada di bawah cip Qualcomm Snapdragon 636 pada Xiaomi Redmi Note 5.
Kamera
Dari segi penggambaran, Honor 8C membawakan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 13MP (f/1.8, PDAF) dan sensor kedua 2MP (f/2.4) untuk kebolehan Portrait Mode. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS) dan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk kebolehan pengurangan gegaran ketika membuat rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.
Pada atas kertas, keupayaan kameranya dilihat baik atas sajian aperture sebesar f/1.8. Aperture yang lebih besar ini mampu mengambil cahaya dengan lebih lagi, sekaligus membolehkan gambar pencahayaan rendah diambil dengan lebih baik. Namun apabila diuji secara ringkas, ia tidak kelihatan seperti yang diharapkan, dengan menyajikan gambar yang cukup soft ketika indoor. Kawalan dynamic range juga dilihat lebih rendah berbanding peranti pesaingnya seperti Realme 3.
Dari segi keupayaan kamera hadapan, ia membawa fungsi penggambaran swafoto asas melalui kehadiran sensor 8MP f/2.0. Hasilan ternyata dilihat asas, dengan memberi hasil ynag kurang tajam apabila digunakan di dalam bangunan atau lokasi yang diterangi dengan cahaya yang terhad. Seperti peranti yang lain, pengguna turut disajikan dengan kebolehan Portrait Mode untuk hasilan kesan kabur di bahagian belakang wajah.
Dari segi fungsi, Honor 8C masih tidak menawarkan rakaman 4K dengan hanya menyajikan akaman video 1080p@30fps. Apa yang mengecewakan, rakaman kamera hadapan hanya ditawarkan dalam resolusi 720p@30fps. Namun ia masih menyajikan beberapa mod menarik, seperti panorama, HDR, dan AR Lens untuk sajian pelekat AR yang menarik. Fungsi Pro juga hadir pada aplikasi kamera ini, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, shutter speed, EV, fokus, dan white balance.
Bateri
Salah satu perkara yang diberi penekanan pada peranti ini ialah ketahanan baterinya. Ia menyajikan kapasiti bateri seumpama Redmi 7 dengan penawaran kapasiti 4000 mAh. Kapasiti ini dilihat besar berbanding Xiaomi Mi A2 yang hanya hadir dengan kapasiti bateri 3010 mAh. Dengan penggunaan cip 14nm menerusi cip Snapdragon 632, ia dijangka dapat memberi penggunaan yang lama untuk kegunaan sepanjang hari.
Dengan kapasiti besar dan padanan cip ini, ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 6-7 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Namun dari segi pengecasan, ia tidak menampilkan sebarang sokongan pengecasan pantas, dengan memerlukan pengguna bergantung kepada pengecasan 10W.
Rumusan
Honor 8C menyajikan sebuah lagi peranti kelas pertengahan asas yang berpatutan untuk pengguna. Ia membawakan rekaan skrin penuh yang cukup moden dengan penyertaan nisbah 19:9 yang terkini. Rekaan belakangnya tampil dengan kemasan glossy, seolah-olah ia hadir dengan kemasan kaca yang premium. Apa yang menarik, kapasiti baterinya cukup besar untuk menggalas tugasan harian pengguna – melalui kapasiti bateri 4000 mAh.
Honor 8C juga mempunyai spesifikasi yang baik di dalamnya, dengan mendatangkan cip Snapdragon 632. Cip ini memperoleh markah melebihi 100,000+ pada AnTuTu Benchmark, sekaligus memberi kebolehan prestasi yang lancar untuk kegunaan harian mahupun permainan. Ia juga menyajikan memori 3GB RAM dan storan 32GB secara terbina, yang mana boleh ditingkatkan melalui kad mikroSD sehingga 256GB.
Honor 8C amat ditujukan bagi pengguna yang inginkan sebuah peranti yang lancar, mempunyai ketahanan bateri yang lama, dan ditawarkan pada harga di bawah RM600. Peranti ini telah diumumkan pada harga RM599, yang mana cukup berpatutan dengan spesifikasi yand didatangkan. Ia juga menjadi pesaing terdekat kepada Redmi 7 yang juga ditawarkan pada harga RM599 untuk variasi 3GB RAM dan 32GB. Dengan penawaran yang hadir Honor 8C, ia berpotensi untuk menjadi salah satu pilihan pengguna bagi segmen peranti bajet yang cukup kompetitif ini.
Bagi anda yang ingin mendapatkan Honor 8C ini, peranti ini boleh didapati di Lazada bermula 27 Mac ini atau melalui pengedar-pengedar Honor yang berhampiran bermula 1 April. Pembelian 1000 terawal di Lazada akan membolehkan pengguna menarima tote bag edisi terhad bersempena dengan Honor 8C ini. Ia telah ditawarkan dalam tiga pilihan warna yang boleh dipilih oleh pengguna iaitu hitam, emas, dan biru.