Cari @ Amanz

Di majlis pelancaran sesebuah produk pasti akan ada satu peranti yang diumumkan secara mengejut kerana kewujudannya berjaya dirahsiakan. Pada pelancaran P30 Pro dan P30 sebentar tadi, Huawei mengumumkan kerjasama dengan Gentle Monster untuk menghasilkan kaca mata pintar dengan pembesar suara terbina.

Sekilas pandang kaca mata yang dihasilkan ini kelihatan seperti sebuah kaca mata normal. Tetapi kesemua komponen seperti sepasang pembesar suara, sepasang mikrofon, bateri, antena dan cip pemproses terbina pada bahagian kaki kaca mata. Ia walau bagaimanapun tidak dilengkapi dengan sebarang kamera. Huawei melihat kaca mata ini sebagai alternatif kepada pemakaian fon telinga.

Pengguna boleh melakukan panggilan telefon menerusinya apabila ditambat pada sebuah telefon pintar. Untuk menjawab panggilan telefon, pengguna hanya perlu melakukan dwi tap pada bahagian kaki kaca mata. Muzik juga boleh didengari dengan jelas walaupun ia tidak menutup bahagian telinga seperti fon kepala biasa. Untuk mengecasnya semula terdapat tempat simpanan khas yang mengecas secara nirwayar. Bagi yang berminat kaca mata pintar ini akan dilancarkan Jun hadapan tetapi harga masih belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd