Cari @ Amanz

Mengingati sesebuah kata laluan kadangkala melecehkan, lebih-lebih lagi kepada anda yang sangat mementingkan keselamatan. Anda sering membina kata laluan baru pada setiap akaun berbeza, bagi mengelakkan ia digodam melalui kata laluan yang sama. Jadi apabila terdapat banyak akaun berbeza, kecenderungan untuk anda terlupa kata laluan ini adalah sangat tinggi dan Firefox ingin membantu anda menguruskan perkara ini.

Mozilla telah hadir dengan solusi mereka menerusi perkenalan Firefox Lockbox. Ia sebelum ini telah hadir pada peranti iOS dan kini ia telah memasuki platform Android. Pada iOS, Firefox Lockbox telah dimuat-turun lebih 50,000 kali dalam menawarkan sebuah aplikasi pengurusan kata laluan yang mudah dan selamat.

Firefox Lockbox membolehkan pengguna mengakses kata laluan yang sedia tersimpan pada pelayar web Firefox. Sekiranya anda sering menyimpan kata laluan pada pelayar web ini, aplikasi Lockbox dapat menempatkan kesemua kata laluan anda di dalam satu aplikasi. Ia memudahkan anda memasuki maklumat akaun pada aplikasi Android lain, tanpa perlu menaip kata laluan satu per satu. Kata laluan yang tersimpan boleh diakses melalui kata laluan utama (master password) atau melalui imbasan biometrik seperti wajah dan cap jari.

Aplikasi Firefox Lockbox telah sedia ditawarkan bermula hari ini melalui Google Play Store dan Apple App Store. Jadi bagi anda yang inginkan kemudahan untuk menyimpan kata laluan, aplikasi Firefox Lockbox ini dapat memenuhi keperluan anda dalam sebuah aplikasi yang ditawarkan secara percuma.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd