Cari @ Amanz

Dua tahun yang lalu kamera aksi kompak Sony RX0 dilancarkan sebagai pesaing kepada kamera aksi seperti GoPro. Semalam model kemas kini Sony RX0 II telah dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan dari segi rekaan, fungsi serta resolusi rakaman video yang mampu dilakukan.

  Sony RX0 II masih mempunyai rekaan tubuh berkotak tetapi kini hadir dengan skrin yang boleh dibuka 180 darjah ke atas bagi memudahkan rakam swavideo dan swafoto. Sebelum ini skrin RX0 tidak boleh digerakkan. Resolusi rakaman video meningkat ke 4K 30FPS berbanding 1080P dua tahun yang lalu. Sebagai sebuah kamera aksi tahan lasak ia boleh digunakan di dalam air sehingga kedalaman 10m, kalis debu, kalis hentakan dari ketinggian 2m dan tahan tekanan sehingga 200kg.

Sensor kamera 15.3 MP CMOS dipadankan dengan lensa Zeiss 4mm f/4 dengan enjin pemprosesan imej BIONZ X. Hanya sistem penstabilan elektronik disertakan tetapi terdapat sistem pemfokusan Eye AF yang ditemui pada kamera Sony Alpha dan Sony Xperia X1 sebelum ini. Bagi memudahkan rakaman vlog, Sony menghasilkan pemegang Shooting Grip dan terdapat juga input untuk mikrofon luaran. Kamera Sony RX0 II dijual pada harga $700 (~RM 2800) bermula April.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd