Beberapa hari lalu, kami telah melaporkan bahawa mesin pelayan kemaskini syarikat ASUS telah digodam dan digunakan untuk menyebarkan perisian hasad yang telah menjangkiti beberapa ratus ribu komputer di seluruh dunia.
Perkara tersebut, yang ditemui oleh pihak Kaspersky Lab dikatakan telah terjadi sejak penghujung tahun lalu, dan tidak diperbaiki sehingga pihak Kaspersky menjadikan laporan tersebut terbuka untuk bacaan awam.
Terkini, nampaknya ASUS telah tampil untuk memberikan penjelasan mengenai kerentanan tersebut, dan langkah-langkah yang diambil untuk memperbaikinya.
Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh mereka, penggodam menggunakan serangan Advanced Persistent Threat (APT) yang rumit untuk menyerang mesin-mesin pelayan mereka, dan selepas mereka mendapat akses kepada mesin pelayan tersebut, perisian ASUS Live Update mereka digodam pula dengan memuatkan perisian hasad tersebut kedalamnya.
Perisian hasad ini kemudiannya dikatakan menyerang beberapa ratus pengguna komputer sahaja, dan menurut ASUS lagi, perkhidmatan pelanggan mereka telahpun dalam perbincangan dengan para pelanggan yang terkesan oleh serangan ini.
ASUS mengatakan bahawa mereka telah memperbaiki kerentanan pada mesin pelayan mereka, dan perisian Live Update tersebut dikemaskini pada perisian ASUS Live Update versi 3.6.8 untuk memastikan bahawa tiada perisian hasad dimasukkan kedalamnya selepas ini.
Dalam pada itu, ASUS juga telah mengeluarkan sebuah lagi perisian yang membolehkan pengguna untuk memeriksa peranti komputer mereka samada mereka terkesan oleh perisian Live Update yang digodam tersebut ataupun tidak.
Para pelanggan yang menghadapi masalah dengan komputer desktop ataupun komputer riba mereka dinasihati supaya memanggil talian pelanggan ASUS supaya mereka boleh memperbetulkan isu ini.