Cari @ Amanz

Membeli barangan atas talian sudah menjadi kebiasaan pada masyarakat moden pada hari ini. Ia memudahkan pengguna membeli sesuatu perkara tanpa perlu lagi menuju ke kedai secara fizikal. Bermakna, anda tidak perlu lagi memandu, meletakkan kenderaan, dan membayar di kaunter yang mana agak sedikit melecehkan. Kesemua barangan dibeli juga akan dihantar terus ke lokasi pilihan anda melalui tempoh masa yang ditetapkan.

Barangan atas talian juga sering ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding di kedai fizikal. Ia dapat dilakukan kerana penjual tidak perlu membayar sewa kedai yang selalunya mencecah harga ribuan ringgit. Penjual juga tidak perlu membelanjakan kos operasi yang tinggi, seperti elektrik dan tenaga kerja, apabila mereka membuka kedai melalui platform ini.

Namun, kesemua kemudahan yang hadir ini masih terdapat beberapa isu terutama dari segi keselamatan. Kita pastinya pernah mendengar beberapa kes penipuan telah berlaku yang menyebabkan barang dan wang tidak diberi kepada pembeli. Namun sebenarnya ia boleh dicegah sekiranya anda mahir dengan selok-belok pembelian barangan atas talian ini. Malah, anda boleh mendapat manfaat yang lebih hebat berbanding membeli barangan secara konvensional.

1. Pilih platform yang mempunyai keselamatan yang tinggi

Pada hari ini, kita telah disajikan dengan pelbagai platform jualan atas talian yang menempatkan sejumlah kedai maya yang menarik. Namun perlaksanaan sistem pada sesebuah platform sebenarnya banyak memainkan peranan dalam menjadikan urusan jual beli lebih selamat. Sistem yang berkuasa dapat memberi pengurusan wang yang lebih baik, selain mengelakkan isu penipuan berlaku.

Pada waktu sekarang, ada beberapa buah platform telah menyediakan sistem dompet tersendiri untuk menguruskan transaksi antara pembeli dan penjual. Perkara ini membuatkan sesebuah platform ini dikenali sebagai orang tengah kerana mereka ‘memegang’ duit pengguna sebelum ia diberikan kepada penjual. Apabila seseorang pengguna menerima barangan yang dibeli, barulah duit tersebut dilepaskan kepada pihak yang menjual barangan tersebut.

Sebagai contoh di Malaysia, Lazada dan Shopee sedia menyediakan program jaminan mereka tersendiri untuk mengelakkan kes penipuan berlaku. Program ini menjanjikan barangan yang dibeli pasti akan diterima oleh pengguna atau sekiranya tidak, wang pastinya akan dikembalikan semula. Untuk menjayakan sistem ini, kedua-dua platform ini akan ‘memegang’ duit pengguna selepas bayaran dibuat, dan penjual hanya akan boleh menerima duit tersebut selepas barang sampai di tangan pengguna.

2. Bandingkan harga

Perkara penting dalam membeli sesuatu barangan pastinya dengan membuat perbandingan harga. Tidak kira membeli di kedai fizikal atau gedung atas talian, perkara ini dapat memberi penjimatan yang lebih dengan menikmati berbezaan harga mencecah sekitar puluhan atau ratus ringgit. Sekiranya anda membeli barangan melebihi satu unit, ia pastinya dapat memberi lebih penjimatan walaupun mempunyai berbezaan sekitar RM1.

Ketika membandingkan harga, anda boleh menilai dari segi kos penghantaran dan tawaran yang diberikan melalui barangan tersebut. Harga barang yang murah tidak semestinya memberi nilai yang baik, kerana ia mungkin mengandungi kos penghantaran yang tinggi. Atau harga yang sedikit tinggi sebenarnya mempunyai nilai yang lebih baik, kerana menawarkan sejumlah hadiah percuma yang melebihi harga kos barangan tersebut.

3. Lihat penilaian kedai

Ketika anda menjumpai barangan yang ingin dibeli, pertama sekali anda perlu buat ialah dengan meneliti penilaian kedai tersebut. Apa yang anda perlu buat, perhatikan angka penilaian (dalam skala 1-5) dan kadar penjual tersebut membuat balasan mesej pengguna. Anda juga boleh membaca komen yang dikeluarkan oleh pengguna lain untuk menilai masa penghantaran dan kualiti bungkusan barang.

4. Lihat penilaian terendah pada barangan ingin dibeli

Kadangkala, kedai yang mempunyai penilaian yang tinggi tidak semestinya menjual barangan yang tulen. Penilaian yang baik diberikan, mungkin disebabkan masa penghantaran yang cepat dan tahap bungkusan yang berkualiti daripada penjual. Layanan dan cara penghantaran mesej yang baik juga dapat meningkatkan angka penilaian seseorang penjual ini.

Sekiranya anda membeli barangan berjenama, pastikan anda melihat penilaian terendah terlebih dahulu untuk memastikan ketulenan barangan tersebut. Pengguna yang berkemahiran akan memberi komen dengan ‘1 bintang’ sekiranya barangan tersebut didapati palsu. Perkara ini juga dapat dapat membolehkan anda melihat kualiti penghantaran dan layanan penjual, sekiranya mereka kurang memberi perkhidmatan yang baik.

5. Lihat polisi kedai seperti jaminan atau polisi ‘return/refund

Selepas menjumpai barangan yang ingin dibeli, pastikan anda membaca sejumlah polisi yang ditentukan oleh penjual atau kedai tersebut. Pastikan anda mengetahui tempoh dan jenis jaminan yang ditawarkan, terutamanya melibatkan barangan jenis elektronik. Anda juga boleh bertanya kepada penjual tersebut untuk polisi pemulangan barang atau wang semula, sekiranya barangan tersebut tidak memenuhi spesifikasi barangan yang anda ingin beli.

6. Lihat lokasi dan masa penghantaran

Apabila menjumpai barangan yang murah, jangan terlalu gembira terlebih dahulu kerana ia mungkin dijual daripada luar negara. Membeli barangan daripada luar negara bukanlah sesuatu perkara yang buruk, tetapi ia akan memakan masa yang sedikit lama berbanding membeli barangan di dalam negara. Selalunya barangan ini berpengkalan di China, jadi ia akan memakan sedikit masa untuk proses penghantaran barangan ini.

Sekiranya anda rela untuk menunggu sekitar 1-2 minggu, ia sebenarnya dapat menguntungkan anda. Membeli barangan daripada luar negara dapat memberi penjimatan yang cukup banyak, dengan perbezaan yang selalunya sekitar puluhan dan ratus ringgit. Cuma pengurusan jaminan mungkin akan terdapat sedikit kesukaran, jadi anda perlu tanya dahulu mengenai jaminan terus kepada penjual. Sekiranya mereka ada pejabat atau pihak yang menguruskan jaminan barangan mereka di Malaysia, barulah anda disyorkan untuk membeli daripada penjual luar negara ini.

7. Utamakan medium pembayaran yang mempunyai ganjaran

Apabila anda ingin membuat pembayaran, utamakan mod pembayaran yang memberi penjimatan kepada anda. Selalunya, kad debit atau kad kredit sesebuah bank akan menawarkan sejumlah diskaun berdasarkan barangan yang anda beli. Ia kadangkala diberikan mengikut hari, jadi anda perlu peka dengan info tersebut melalui bank yang anda gunakan. Sekiranya tidak, mod pembayaran biasa juga tidak mempunyai masalah, cuma anda mungkin tidak dapat meraih manfaat seperti pemberian diskaun ini.

8. Gunakan kod, kupon, atau baucar untuk mengurangkan harga

Sekiranya anda tidak mempunyai mod pembayaran yang menawarkan diskaun, anda masih boleh menggunakan kod khas untuk mengurangkan harga akhir bagi barangan yang anda ingin beli. Kod ini selalunya diberikan melalui saluran media sosial, jadi anda boleh mengikuti sejumlah akaun jualan atas talian ini untuk mendapatkan kod diskaun terkini.

9. Gunakan Shopback untuk menerima ganjaran tunai

Sekiranya anda gemar membeli barangan atas talian, anda juga boleh mendapatkan ganjaran tunai dengan mendaftarkan diri anda pada halaman Shopback. Ia menyokong sejumlah platform atas talian seperti Lazada, Shopee, 11Street, dan pelbagai lagi kedai atas talian yang popular. Ganjaran tunai ini diberikan berdasarkan peratusan daripada harga barangan tersebut, jadi barangan yang lebih mahal akan berpeluang untuk menerima ganjaran yang lebih banyak.

10. Simpan maklumat pembelian di tempat yang mudah dirujuk kembali

Selepas membeli sesuatu barangan, pastikan anda menyimpan segala resit digital sebagai bukti pembelian. Walaupun platform jualan atas talian sedia menyimpan resit-resit ini, anda dinasihatkan untuk menyimpan ke sebuah tempat yang mudah dicari. Anda boleh mengeksportnya menjadi PDF dan kemudiannya di simpan ke lokasi yang mudah dilihat seperti folder atau di storan awanan. Perkara ini akan memudahkan anda untuk memasukkan maklumat pencukaian atau ketika ingin menebus sesuatu jaminan.

11. Buat aduan sekiranya barangan yang dibeli tidak tiba ke tangan anda

Sekiranya barangan yang dibeli tidak diterima oleh anda dalam sesuatu tempoh, anda boleh membuat aduan terus ke pihak yang menguruskan platform tersebut untuk menerima maklum balas yang seterusnya. Mereka selalunya akan memulangkan semula wang ke akaun pengguna, sekiranya pihak penjual tidak dapat menghantar sesuatu barang kepada pengguna. Aduan ini dapat membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti penjual yang berbahaya daripada terus memperdaya pengguna. Mereka akan memadam akaun penjual ini dengan serta merta sekiranya terdapat kes penipuan berlaku.


Membeli barangan atas talian sememangnya menyeronokkan sekiranya anda mengetahui sejumlah perkara ketika membeli pada platform ini. Ia memerlukan penelitian dan kaji selidik bagi mengelakkan anda tertipu dengan barangan yang ditawarkan. Anda juga sebenarnya boleh mendapatkan penjimatan yang hebat platform ini, dengan memanfaatkan kod baucar, mod pembayaran berdiskaun, atau memanfaatkan perkhidmatan ganjaran tunai. Semoga paparan artikel pada kali ini dapat memberi input kepada anda, lebih-lebih lagi yang baru sahaja berjinak-jinak untuk menggunakan perkhidmatan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd