Minggu ini, majlis Anugerah Gemilang Maxis eKelas 2019 telah berlangsung di Menara Maxis, KLCC. Objektif anugerah ini adalah menggalakkan para pelajar mencapai matlamat akademik dan mencungkil potensi mereka. Bersempena dengan majlis pemberian anugerah ini, seramai 25 orang pelajar dari pelbagai daerah negeri telah dipilih untuk menerima anugerah berdasarkan prestasi akademik mereka.
eKelas adalah program komuniti utama Maxis yang bertujuan untuk mencungkil potensi serta meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar di komuniti luar bandar. Ia adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun 6 hingga Tingkatan 5, yang membawa kepada kandungan pendidikan berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia. Malah tumpuan turut diberikan pada subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Turut hadir, Al-Ishsal Ishak – Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyifatkan kaedah secara langsung eKelas ini sememangnya unik. Pelajar daripada negeri yang berlainan dapat berjumpa dalam satu platform untuk bersama membincangkan pelajaran dan projek akademik. Secara tidak langsung, mengakui menerusi teknologi, perkongsian ilmu dapat dilaksanakan tanpa sempadan.
Seterusnya, seramai 4 orang pelajar menerima sumbangan wang tunai bernilai RM1,200 serta pek permulaan sekolah, manakala 21 lagi menerima sumbangan wang tunai bernilai RM600 serta pek permulaan sekolah. Elaun tunai ini akan dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional pelajar-pelajar.
Bagi mereka yang berminat, pelajar yang layak bolehlah memohon secara dalam talian dan menyerahkan keputusan peperiksaan akhir tahun, bagi tahun semasa serta tahun lepas, yang kemudiannya akan dinilai oleh Maxis. Sila layari maklumat lanjut pada pautan di bawah.