Twitch adalah salah satu daripada platform-platform penstriman permainan yang paling popular di dunia. Sebelum ini, ia tiba dengan ciri yang membenarkan penstrim besar untuk menghantar penonton-penonton mereka untuk melihat penstrim baru ataupun yang tidak mempunyai begitu ramai penonton, yang dinamakan raiding.
Terkini, Twitch dilihat sedang menguji satu lagi ciri baru yang dinamakan Squad Stream, yang membenarkan empat penstrim untuk berkongsi satu skrin dimana penonton-penonton boleh melihat keempat-empat penstrim ini sekaligus.
Ciri ini membenarkan penonton untuk melihat sudut pandangan keempat-empat penstrim pada satu strim, dan pengguna tidak lagi perlu menonton empat strim berbeza jika penstrim-penstrim kegemaran mereka strim bersama-sama.
Buat masa ini, ciri ini hanya boleh digunakan oleh penstrim Twitch Partners, dengan Twitch mengatakan bahawa pengguna Affiliates akan menerimanya tidak lama lagi.
Dengan populariti permainan-permainan jenis battle royale berskuad, ciri Squad Streamer ini pasti akan menjadi popular dengan ramai penstrim permainan-permainan seperti PUBG, Fortnite dan Apex Legends tidak lama lagi.