ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa laptop gaming paling nipis dan berkuasa mereka, ASUS ROG Zephyrus S GX701 sudahpun tiba di pasaran Malaysia.
Model ASUS Zephyrus S GX701 ini merupakan kemaskini kepada model ASUS Zephyrus S GX531G yang hadir pada tahun lepas dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q.
Model GX701 yang terbaru ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 24GB, dan storan SSD PCIe sebanyak 1TB. Dari segi pilihan kad grafik pula, ASUS ROG Zephyrus S terbaru ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Max-Q.
Komputer riba Zephyrus S ini menggunakan paparan hampir nirbingkai bersaiz 17.3 inci pada resolusi Full HD (1920×1080) dengan kadar segar semula 144Hz yang turut menyokong teknologi paparan NVIDIA GSYNC.
Ia juga dilengkapi dengan palam I/O yang mencukupi, termasuklah tiga palam USB 3.1 Type-A, dua palam USB 3.1 Type-C, dimana salah satu daripadanya hadir dengan sokongan untuk DisplayPort 1.4,
Dalam pada itu, komputer riba ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri lain seperti sistem pencahayaan Aura Sync dan juga perisian Armory Crate yang boleh digunakan untuk mengawal pelbagai ciri-ciri lain komputer riba ini.
ASUS juga menaiktarafkan sistem pencahayaan Aura Sync pada papan kekunci komputer riba ini dengan kehadiran sokongan per-key RGB supaya setiap kekunci hadir dengan LED RGB mereka tersendiri untuk pengubahsuaian pencahayaan yang lebih mendalam.
Menurut ASUS Malaysia, laptop ASUS ROG Zephyrus S GX701 ini sudahpun hadir di pasaran tempatan, dan boleh dibeli pada harga RM13,999. Dalam pada itu, setiap pembelian komputer riba ini juga akan hadir dengan beg galas ASUS ROG Backpack, tetikus ASUS ROG Gladius II dan kamera webcam ASUS ROG GC21 yang bernilai RM899.