Papan kekunci kupu-kupu diperkenalkan pada tahun 2015 menerusi MacBook 12″. Ia menerima respon negatif di kalangan peminat tegar MacBook kerana mempunyai jarak pergerakan menegak kekunci yang lebih cetek dan menimbulkan pelbagai masalah seperti gagal berfungsi jika debu memasuki ruang dalaman. Menurut laporan WSJ, masalah ini masih lagi dilaporkan oleh pengguna MacBook baharu dengan kekunci kupu-kupu generasi ketiga.
Kekunci generasi ketiga ini hadir dengan membran khas yang mengelakkan debu dari memasuki ruang bawah kekunci. Tetapi nampaknya versi terkini masih gagal menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan agak lama. Kadang kala kekunci melekat sehingga tidak mengesan tekanan jari pengguna.
Apple telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai masalah ini dan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi. Mereka menegaskan masalah ini hanya dialami sebilang kecil pengguna dan majoriti pemilik MacBook berpuas hati dengan kekunci kupu-kupu mereka.
Jika anda menghadapi masalah ini jangan risau. Apple menawarkan program gantian papan kekunci pada sembilan model MacBook. Gantian percuma ditawarkan selama empat tahun selepas MacBook dibeli.