AirMessage Membolehkan Fungsi iMessage Digunakan Pada Peranti Android

AirMessage Membolehkan Fungsi iMessage Digunakan Pada Peranti Android

Diterbitkan pada Mac 28, 2019 oleh .

iMessage merupakan perkhidmatan permesejan yang dihasilkan oleh Apple. Ia menawarkan fungsi seumpama WhatsApp dan Telegram, namun hanya boleh dinikmati pada peranti Apple sahaja. Namun pada hari ini, salah seorang pembangun berjaya membawa fungsi ini ke peranti Android – melalui perkenalan AirMessage.

AirMessage adalah sebuah perkhidmatan yang mampu membawa mesej daripada iMessage ke paparan peranti Android. Ia membolehkan pengguna menghantar sejumlah fail seperti iMessage, seperti gambar, video, dan mesej audio. Perkhidmatan ini juga mampu memaparkan tanda biru, mesej dengan kesan khas, dan sejumlah pelekat yang menarik.

Namun anda jangan gembira terlebih dahulu kerana ia memerlukan sebuah Mac untuk menjalankannya. Mac ini akan dijadikan sebagai pelayan (server) dan bertindak sebagai perantara untuk menghantar mesej tersebut ke peranti bukan Apple. Mac sedia mempunyai fungsi iMessage, sekaligus membuatkan Mac ini diperlukan untuk menerima mesej iMessage daripada pengguna lain.

Jadi bagi anda yang ingin menggunakan perkhidmatan ini, anda boleh memuat-turun aplikasi AirMessage pada Play Store dan perisian AirMessage Server untuk macOS. Anda disarankan untuk melihat halaman cara pemasangannya terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemasangan perkhidmatan ini.


TIPS & ULASAN