Carian
Ulasan: vivo V15 Pro – Pengalaman Peranti Mercu Pada Peranti Kelas Pertengahan
March 28, 2019 Fahim Zahar

Pernah atau tidak anda untuk memiliki sebuah peranti mercu, tetapi tidak mampu untuk membelinya? Saya biasa alami situasi seperti ini. Harga peranti mercu zaman sekarang tidak dinafikan agak mahal dan ada juga harga peranti mercu yang mencecah sehingga RM7 ribu. Vivo nampaknya ingin cuba atasi masalah ini dengan kehadiran vivo V15 Pro.

vivo V15 Pro adalah sebuah peranti kelas pertengahan, tetapi mempunyai ciri-ciri seakan sebuah peranti mercu. Peranti ini berada dalam kategori peranti kelas pertengahan premium dan sebagai seorang yang tidak gemari peranti vivo – vivo V15 Pro telah menjadi peranti harian saya untuk beberapa minggu. Ini adalah ulasan buat peranti ini.


Skrin

vivo V15 Pro hadir dengan skrin Ultra FullView Display (Super AMOLED) bersaiz 6.39-inci dengan resolusi FHD+. Agak menarik untuk lihat sebuah peranti kelas pertengahan menggunakan skrin yang berkualiti tinggi. Skrin pada peranti amat memuaskan. Dari segi warna ia agak terang dan kecerahan apabila di bawah sinaran cahaya matahari juga memuaskan. Walaupun menggunakan rekaan seakan nirbingkai menyeluruh, di bahagian dagu masih tebal – tetapi syukur ia tidaklah mengganggu pengalaman penggunaan.

Apabila menonton Netflix, di sini perasaan kecewa mula tiba dan drama yang sepatutnya seronok ditonton buatkan saya terus murung. Ini kerana, peranti ini tidak mempunyai lesen pengurusan hak digital (DRM) Widevine L1. Jadi penstriman Netflix hanya terhad pada resolusi HD sahaja dan tidak boleh menikmati tontonan FHD. Untuk menikmati kualiti FHD, saya akan kerap membuka YouTube untuk tonton video muzik, video-video ulasan pada resolusi paling tinggi.

Pada bawah skrin Super AMOELD vivo V15 Pro ini, turut terdapat pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal. Pengimbas cap jari seperti ini, jujur saya katakan – saya benci. Ini kerana, sensor jenis optikal agak perlahan jika dibandingkan dengan pengimbas cap jari ‘biasa’. Kemudian, apabila mengimbas cap jari – skrin akan ditetapkan pada kecerahan maksima secara automatik untuk dapatkan data cap jari. Tetapi, selepas jari berjaya diimbas – kecerahan akan kembali seperti biasa.

Prestasi

vivo V15 Pro dijana dengan cip pemproses Snapdragon 675. Cip ini adalah pengganti buat Snapdragon 660. Cip pemproses ini mempunyai binaan 11nm, jadi ia lebih efisien berbanding Snapdragon 660. Kemudian, ia dipadankan pula dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Dengan spesifikasi seperti ini, ia memberikan prestasi yang sangat mengagumkan. Sepanjang penggunaan saya, boleh dikatakan hampir tiada masalah lengah masa.

Dalam masa satu hari, kebiasaannya saya akan gunakan sekitar 10 aplikasi yang sentiasa dibiarkan berjalan di latar. Ini adalah untuik kerja-kerja multi-tugasan saya. Mengejutkan peranti vivo ini tidak membawa sebarang masalah. Lengah masa hanya akan berlaku selepas saya bermain permua seperti PUBG. Di mana saya akan terus tukar ke aplikasi lain dan pada waktu ini ia akan terasa sedikit perlahan. Tetapi hanya untuk beberapa saat sahaja. Pada saya ini bukanlah satu masalah serius.

Jadi memori 6GB pada peranti ini sudah mencukupi. Storan dalaman pula, 128GB untuk kegunaan saya sudah mencukupi. Dalam kegunaan saya – terdapat baki sekitar 60GB untuk simpanan lain. Tetapi bagi mereka yang tidak tenang lihat memori semakin berkurangan, ia turut mempunyai slot kad mikroSD yang menyokong sehingga 256GB.

Kamera

Peranti vivo biasa terkenal dengan kamera dengan mod kecantikan terbina yang tidak boleh dipadamkan – tetapi boleh ditambah lagi untuk menjadi lebih ‘cantik’. Pada vivo V15 Pro, mod itu masih ada – tetapi tidaklah melampau. Peranti ini dilengkapi dengan tri-kamera di belakang yang terdiri daripada 48MP f/1,8, 8MP f/2.2 ultra-lebar dan juga 5MP f/2.4 untuk bokeh. Suatu masa dahulu, saya memang tidak gemar akan kamera pada peranti vivo. Tetapi pada vivo V15 Pro saya berpuas hati. Mod ultra-lebar yang cantik dan baik, mod bokeh yang ‘ok‘, tidak sehebat pesaing – tetapi mencukupi dan juga mengambil gambar landskap juga saya berpuas hati.

Mod malam turut terbina pada aplikasi kamera vivo ini. Cuma, pada saya ia tidak memounyai kualiti yang hebat dan masih mempunyai banyak hingar serta warnanya tidak tajam. Kamera swafoto adalah daripada lensa 32MP. Kamera ini adalah jenis kamera periskop, di mana ia tersembunyi dalam peranti. Ia seakan peranti mercu vivo, vivo Nex. Kamera swafoto agak baik, tetapi apabila cahaya terlampau terang – fokus lari sedikit dan menjadikan hasil gambar terdedah pada cahaya yang terlampau.

Video, pada saya rakaman video peranti ini biasa sahaja. Tidak ada perkara yang membuatkan saya teruja. Sistem kamera peranti ini juga mempunyai kecerdasan buatan terbina untuk mengesan suasana atau objek yang dirakam. Satu tambahan menarik adalah, kamera swafotonya turut menyokong imbasan wajah untuk nyahkunci peranti. Ia agak pantas dan menarik. Tetapi, ada satu perkara yang vivo tidak maklumkan. Atas penggunaan saya, imbasan wajah untuk nyahkunci peranti ini bukan hanya menggunakan kamera swafoto – tetapi turut menggunakan sensor ambient untuk membantu. Ini kerana, apabila berada di tempat yang gelap atau saya dengan tutup bahagian sensor dengan jari – wajah saya tidak dapat dikesan.

Audio & Bateri

Untuk audio, peranti ini hanya mempunyai pembesar suara mono. Ia tidak menarik, tetapi cukup kuat dan pada peranti kelas pertengahan ia sudah mencukupi. Untuk pengalaman audio yang lebih baik, saya galakkan menggunakan set fon telinga – kerana port bicu audio masih dikekalkan. Bateri peranti ini adalah 3700mAh dengan sokongan pengecasan pantas Dual-Engine yang berasaskan QC3.0. Pada saya, ia agak perlahan dan sistem ini boleh dikatakan adalah lapuk. Paling mengecewakan adalah pengecasan perlu dilakukan melalui port mikroUSB.

Masa mengecas peranti hampir mencecah 2 jam. Agak kecewa, jika bateri 4000mAh – mungkin saya boleh terima. Walau bagaimanapun, SOT peranti ini adalah mencecah sehingga 7jam dan kadangkala saya turut dapat capai 8 jam. Disebabkan vivo tidak mempunyai Digital Wellbeing atau untuk semak status bateri yang jelas – saya membuat kiraan manual. Di mana, masa tontonan Netflix + YouTube adalah sekitar 5 jam dan sosial media dan lain-lain adalah dari 1-3 jam.

Rekaan

Peranti ini mempunyai rekaan yang pada saya agak nipis. Ia mempunyai dimensi 157.25mm × 74.71mm × 8.21mm, tetapi mempunyai berat 185g yang pada saya kurang selesa di tangan. Di bahagian atas, terletaknya kamera swafoto yang tersorok, mikrofon dan juga port bicu audio 3.5mm. Di bahagian bawah pula terdapat slot kad sim, mikrofon kedua, port mikro USB dan pembesar suara mono.

Di sisi peranti terdapat slot kad mikroSD dan butang fizikal untuk menyeru Google Assistant atau di China adalah Jovi. Di sisi bertentangan terdapat butang kuasa dan juga butang aras suara. Di bahagian hadapan, ia kelihatan premium dan menawan dengan rekaan hampir nirbingkai menyeluruh. Di bahagian belakang pula, terdapat kamera dengan bonjol yang tebal. Biasanya bonjol ini boleh disorokkan dengan kerangka yang disediakan – tetapi kerangka yang diberi vivo menambahkan lagi bonjol.

Panel belakang yang kelihatan seksi dan cantik ini, kelihatan seperti kaca. Sebenarnya ia adalah plastik dengan kemasan yang diberi nama Spectrum Ripple. Kemasan ini mempunyai corak lingkaran melengkun yang berulang dan pada set yang saya gunakan, warna biru cerun Topaz Blue’ ini memang cantik dan tenang mata melihat.

Antaramuka

Seperti banyak pengeluar peranti dari China, vivo juga menjalankan sistem operasi Android dengan antaramuka tersendiri yang agak berat. Sistem operasi ini adalah Funtouch OS 9 berasaskan Android 9.0 Pie. Walaupun ia adalah versi Android terkini, vivo seperti Xiaomi dengan MIUI – di mana banyak kemaskini fungsi dan ciri adalah pada antaramuka mereka dan fungsi dan ciri terbina dalam sistem Android yang Google sediakan kebiasaannya tidak terdapat pada sistem mereka.

Berikut adalah antara fungsi dan ciri menarik dalam vivo V15 Pro;

App Clone – Mengklonkan satu aplikasi media sosial atau permesejan untuk dua akaun berbeza dalam satu peranti.

Easyshare – Jika Apple ada AirDrop, Xiaomi ada Mi Drop, Huawei ada Huawei Share – vivo ada Easyshare. Satu fungsi kongsi, pindah atau terima data yang pantas.

Game Cube – Mod permainan terbina untuk bermain permua tanpa gangguan dan pada prestasi yang lebih baik.

iManager – Hab mengurus peranti, seperti sekuriti, pengurusan RAM, pengurusan storan dalaman dan banyak lagi.

Jovi – Sistem pintar terbina, ia mempunyai hab seakan Google Feed, Google Lens, kecerdasan buatan untuk kamera dan juga butang fizikal untuk seru Google Assistant.

Kawalan Gesture – Kawalan gesture penuh untuk memberi pengalaman penggunaan peranti yang lebih imersif.

Kawalan Pintar – Fungsi-fungsi dan ciri tambahan seperti Samsung. Contoh; rakaman skrin, menjawab panggilan, mute nada dering dan banyak lagi.

Mod Kecantikan Dalam Aplikasi – Mengaktifkan mode kecantikan dalam aplikasi panggilan video seperti Skype, Facebook Messenger atau juga WhatsApp.

Mod Motosikal –  Bayangkan ‘Do Not Disturb’ tetapi lebih sesuai digunakan bagi penunggang motosikal.

Mod Tema Gelap – Dengan trend mod tema gelap yang dikatakan boleh menjimatkan bateri sehingga 60%, ia terbina dalam peranti ini. Ia akan lebih berfungsi dengan baik kerana peranti ini menggunakan skrin AMOLED.

Apa yang menarik dengan Funtouch OS 9 ini adalah, ia tidak mempunyai banyak aplikasi dari China atau aplikasi pengiklanan terpasang. Banyak juga aplikasi terpasang boleh terus buang (bukan matikan). Kemudian, prestasi Google Assistant juga menakjubkan. Biasanya peranti dari China (selain OnePlus), Google Assistant mempunyai prestasi yang agak perlahan dan masa untuk ia mendengar ‘Hey, Google’ sedikit lambat.


Konklusi

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, di mana peranti kelas pertengahan tidak mampu memberi fungsi dan ciri sesebuah peranti mercu. Dengan banyak pengeluar bersaing, vivo cuba menarik hati orang ramai untuk mencuba peranti mereka. vivo V15 Pro ini tidak dinafikan adalah telefon pintar yang agak hebat dan menarik. Pada pendapat saya, peranti ini cukup lengkap dan memuaskan.

Skrin peranti yang hebat, kamera yang memuaskan, pengalaman penggunaan yang hebat, butang fizikal untuk seru pembantu maya, rekaan skrin menyeluruh, jangka hayat bateri yang menakjubkan serta rekaan premium yang mirip sebuah peranti mercu.

Di Malaysia, tidak banyak peranti yang dijana dengan Snapdragon 675. Jika anda ingin mencari pengganti telefon pintar dalam kelas yang sama, pada saya ini adalah berbaloi. Untuk pengguna-pengguna vivo yang rasakan vivo Nex adalah mahal dan di luar kemampuan, vivo V15 Pro adalah peranti yang terbaik. Harga jualan adalah RM1799 dan boleh didapatkan di Malaysia. Warna pilihan adalah Coral Red dan Topaz Blue, iaitu warna cerun merah dan cerun biru.

Jika anda masih bandingkan vivo V15 Pro dengan Pocophone dan kemudian gunakan tanda tagar #BaikBeliPoco – saya nasihatkan jangan. Ya, Pocophone F1 lebih berbaloi dari segi cip pemprosessan. Tetapi, cuba pandang dari perspektif berbeza – seperti penawaran yang terdapat pada peranti ini. Dari segi bahan binaan, kualiti kamera, skrin AMOLED dan lain-lain.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin Super AMOLED dengan rekaan menyeluruh.
  • Prestasi peranti kelas pertengahan yang hebat.
  • Walaupun bahan binaan plastik, ia masih kelihatan premium.
  • Dua slot berasingan untuk kad sim dan kad memori.
  • Sistem kamera seakan sebuah peranti mercu, dengan kualiti yang menakjubkan.
  • Tiada lesen DRM Widevine L1.
  • Pembesar suara mono dan kurang memuaskan.
  • Sistem pengecasan pantas yang sebenarnya perlahan.
  • Masih menggunakan port mikroUSB.
  • Harga yang sedikit mahal berbanding pesaing yang sama kelas.

Komen