Cari @ Amanz

Boeing Mengumumkan Lima Finalis Pertandingan Rekaan Kenderaan Terbang Peribadi Padat GoFly

Link Copied!

Minggu ini media sosial tular rekaan dron peribadi Aerodyne Vector yang diperlihatkan di LIMA 2019. Ramai juga yang mentertawakan model konsep rekaan tempatan ini walaupun ia masih sekadar fasa pertama rekaan. Jadi hari ini ada baiknya jika kami memaparkan lima finalis rekaan pertandingan GoFly yang ditaja oleh Google. Menerusi GoFly, Boeing mencari rekaan kenderaan terbang peribadi padat untuk kegunaan di masa hadapan.

Lima finalis yang dipilih masih-masing menerima $50,000 (~RM 200,00) untuk menghasilkan prototaip berdasarkan rekaan konsep yang dihantar. Setiap kenderaan terbang perlu mempunyai kemampuan terbang dan mendarat secara menegak. Pemenang GoFly kelak akan diberikan hadiah $1.0 juta (~RM 4 juta) bagi mengkomersialkan rekaan mereka. Rekaan yang paling kecil dan senyap akan menerima $250,000 (~RM 1 juta) dan rekaan yang paling inovatif akan turut menerima $100,000 (~RM 400,000).

Trek Aerospace Flykart2

Kita mulakan dengan Flykart2 yang dibangunkan oleh firma Trek Aerospace yang berpangkalan di California. Rekaan kenderaan terbang mereka mirip dengan Vector yang dicemuh cuma dengan 10 kipas bersalur (ducted fan) yang berkuasa elektrik. Ia boleh membawa seorang penumpang sahaja dan sekilas pandang kelihatan seperti pesawat T-47 Arispeeder dari filem Star Wars.

Aeroxo Eva Aviabike

Aeroxo Eva Aviabike pula adalah motosikal terbang dengan 16 kipas bersalur yang disusun dalam konfigurasi 4×4. Kipas-kipas ini akan berputar ke posisi mendatar apabila ingin terbang seperti pesawat konvensional. Sayap yang disertakan akan menghasilkan daya apungan yang membolehkan ia terbang seperti pesawat konvensional. Aeroxo ialah syarikat pembangunan sistem dron yang berpangkalan di Rusia.

Dragonair Airboard 2.0

Airboard 2.0 adalah platform terbang dengan lapan pasang kipas pada bahagian bawah yang memberikan tujahan ke bawah. Rekaan platform terbang ini sama seperti rekaan platform terbang Helivector yang dibangunkan oleh syarikat de Lackner untuk ujian Tentera Amerika Syarikat ketika dekad 50an. Kesemua kipas Airboard 2.0 terdedah yang membuatkan ia berbahaya kepada juruterbang sekiranya mereka terjatuh. Dragonair ialah pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Aria

Sebuah lagi rekaan platform terbang yang sama seperti Airboard 2.0 dan Helivector ialah Aria. Ia dibangunkan oleh University Texas A&M. Dua pasang kipas yang berpusing secara kontra diletakkan secara bertindak bagi memberikan platform yang stabil. Rekaan ini sama seperti konfigurasi kipas helikopter Sikorsky-Boeing SB>1 yang telah melakukan penerbangan pertamanya minggu ini.

Silverwing Personal Flight S1

S1 ialah kenderaan terbang yang mempunyai dua kipas yang dipasang pada bahagian sayap. Ia mendarat dan terbang dalam posisi hidung ke langit. Setelah mencapai tahap ketinggian optimum, ia melakukan perubahan ke penerbangan mendatar menggunakan sayap konvensional. Rekaan ini pula sama seperti dron Almaz-Antey dengan senapang patah yang kami laporkan semalam. Silverwing Personal Flight ialah pasukan yang terdiri daripada pelajar Delft University of Technology Belanda.

Seperti yang anda dapat lihat sendiri, kesemua rekaan konsep dan prototaip awal kenderaan terbang di dalam pertandingan GoFly ini kelihatan aneh. Sama aneh seperti model konsep Vector yang diperlihatkan oleh Aerodyne di LIMA. Seperti Aerodyne, beberapa pasukan finalis di dalam GoFly mempunyai kepakaran dalam pembinaan dron komersil dan bukannya automotif.

Adalah mudah untuk memperlekehkan rekaan tempatan tetapi seperti biasa jika mereka menemui kejayaan, anda jugalah yang paling awal menaikkan status pujian di media sosial.


Komen ()