Carian
Aviatar Hackhaton 2019 Pupuk Kreativiti Pintar Pada Industri Penerbangan
March 29, 2019 • Liyana

Minggu ini, AirAsia bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengumumkan pemenang bagi pertandingan hackathon Aviatar 2019 yang berlangsung di Pameran Maritim, Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA). Lebih daripada 300 orang pelajar tempatan menyertai pertandingan ini bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam industri penerbangan.

Pasukan BringFly dari Universiti Malaya telah dinobatkan sebagai pemenang bagi hadiah utama pertandingan ini. Pasukan ini telah mengetengahkan idea pemeriksaan dan pembersihan dalam penerbangan secara serentak dengan menggunakan robot sebagai alat kawalan. Menerusi sistem pengecaman imej ini, robot tersebut dapat memeriksa jaket keselamatan yang disimpan dengan betul, melakukan tugas pembersihan umum kabin seperti memvakum, dan mengenal pasti isu-isu lain kepada kru kabin.

Dato’ Lokman Hakim Ali – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan  menerusi platform ini para belia dapat memupuk kreativiti membangunkan solusi yang pintar untuk industri penerbangan. Usaha ini selaras dengan inisiatif Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang menekankan kepada Penyelidikan dan Teknologi yang diketuai oleh peneraju industri untuk membentuk kecekapan baharu.

Pasukan BringFly berpeluang untuk melawat beberapa buah syarikat aeroangkasa di Perancis untuk mengembangkan idea mereka. Lawatan tersebut disokong oleh GIFAS ke syarikat-syarikat seperti Airbus, Air France Industries, Daher, Safran, Thales, WeAre Group dan SEMIA. Pemenang tempat kedua, pasukan 5G dan ketiga, pasukan Deltas pula berpeluang untuk melawat syarikat-syarikat aeroangkasa terkemuka di Malaysia dan Jepun.

Menerusi penyelesaian ini ia dapat membantu meminimumkan masa yang diperlukan untuk pemeriksaan pada kabin pesawat. Seterusnya dapat membantu mengoptimumkan prestasi masa bagi syarikat penerbangan (OTP) dalam pengurusan kelengkapan.

Komen