Celcom hari ini telah mengumumkan yang mana mereka telah mula menawarkan eSIM untuk tiga telefon pintar Apple yang terbaru, iaitu iPhone XR, iPhone XS dan juga iPhone XS Max.
eSIM merupakan alternatif untuk penggunaan kad-SIM biasa. Melaluinya, pengguna tidak lagi perlu membuat gantian kad-SIM, tetapi ia dilakukan secara maya dengan hanya perlu membuat tetapan dan mengimbas kod QR pada peranti anda.
eSIM di Celcom akan ditawarkan bermula 28 Mac 2019, dan ia menawarkan sokongan untuk sejumlah pelan pascabayar buat masa ini.
Bagi anda yang berminat, boleh melakukan pendaftarannya di Celcom Bluecube. Memandangkan iPhone menyokong penggunaan eSIM sebagai talian kedua, kini ia boleh dijayakan melalui talian Celcom.
Selain Celcom, Maxis turut telah menawarkan sokongan eSIM untuk iPhone sebelum ini.