Google Drive adalah perkhidmatan storan awan yang memulakan perkhidmatan pada tahun 2012. Pada awal pelancaran, ia hanyalah satu perkhidmatan storan awan untuk menyimpan data pengguna. Tahun demi tahun, Google hanya membuat perubahan kecil pada Google Drive.
Baru-baru ini, barulah satu kemaskini drastik hadir – di mana antaramukanya kini menggunakan rekaan material design baharu yang mirip dengan Android 9.0 Pie. Tetapi, tahukah anda yang Google mempunyai satu perkhidmatan baru yang kelak mungkin akan menjadi pengganti Google Drive? Ini adalah penjelasannya;
Perkhidmatan ini adalah Google One. Adakah Google cuba ‘meniru’ Microsoft dengan One Drive? Atau ‘One’ pada Google ini ada maksud tersendiri?
Google One adalah satu hab pengurusan Google Drive. Di mana, Google One ini hanya boleh diakses oleh pengguna Google Drive yang mempunyai langganan Google Drive sekurang-kurangnya 100GB. Ini bermakna, mereka yang menggunakan Google Drive percuma yang hanya mempunyai 15GB – Google One tidak boleh diakses. Ia bukan sahaja hab pengurusan, tetapi Google turut memberi faedah premium kepada pengguna dan faedah ini adalah sama walaupun anda melanggan pakej paling murah – RM8.49 sebulan.
Pakej Storan Baru
Mana-mana Google akaun akan menerima 15GB kuota Google Drive. Pengguna turut boleh naik taraf ke pelan 100GB, 1TB, 10TB, 20TB atau juga 30TB. Tetapi dengan Google One, Google menawarkan pilihan storan 200GB dan kepada yang melanggan pelan 1TB – kuota mereka akan dinaiktaraf ke 2TB secara percuma dengan membayar bulanan atau tahunan pada harga yang sama.
Perkhidmatan Pelanggan Premium
Kebiasaannya, perkhidmatan pelanggan Google di Malaysia hanay boleh dihubung melalui emel. Tetapi dengan Google One, pengguna kini mempunyai akses panggilan telefon dan juga chat secara langsung.
Panggilan dan chat ini harus dimohon terlebih dahulu. Pengguna tidak boleh terus membuat panggilan atau memulakn perbualan. Panggilan telefon apa yang menarik adalah percuma. Google akan membuat panggilan secara rawak dari mana-mana perkhidmatan pelanggan seluruh dunia. Atas percubaan saya, saya dapat panggilan dari India.
Diskaun Hotel & Kredit Google Play
Google turut menawarkan diskaun membuat tempahan hotel kepada semua pengguna yang melanggan Google One. Walaupun diskaun yang diberikan adalah tidak sehebat Booking.com, Traveloka atau lain-lain, tetapi syukur – masih ada faedahnya.
Di negara luar, pengguna turut dapat kredit Google Play dikreditkan ke dalam akaun mereka sebagai tanda terima kasih membuat langganan. Di Malaysia buat masa ini masih lagi diskaun hotel sahaja. Ini mungkin kerana, kredit Google Play di Malaysia masih lagi baru. Kelak, jika sudah ramai menggunakan kredit Google Play – mungkin Google akan berikannya kepada pengguna di Malaysia.
Kongsi Kuota Kepada 5 Orang
Seperti banyak perkhidmatan langganan yang berada di pasaran; Spotify, Tidal, Netflix, Apple Music dan banyak lagi -perkhidmatan ini mempunyai pelan untuk keluarga atau berkongsi dengan rakan. Google One turut mempunyai pelan yang sama.
Cuma, ada satu sahaja masalah. Google tidak mempunyai pelan yang spesifik untuk keluarga. Tetapi konsep Google adalah berkongsi pelan bersama-sama. Ini bermakna, jika anda melanggan pelan 100GB tahunan (RM84.99) – anda perlu berkongsi kuota itu bersama-sama. Jadi, jika salah seorang ahli menggunakan kuota storan awan sehingga 80GB – hanya ada jumlah 20GB sahaja yang boleh dikongsi.
Tetapi, anda turut boleh berkongsi secara sama rata dengan berbincang dengan baik. Jika anda adalah pemilik akaun, anda boleh tendang ahli pada bila-bila masa sahaja.
Jadi, jika anda inginkan faedah lebih daripada Google – Google One adalah satu langganan storan awan yang baik. Walaupun pelan berkongsi tadi agak kurang menarik, tetapi ia agak berguna.
Ya, walaupun ada pelan dari pesaing yang lebih berbaloi. Antara kelebihan Google adalah dari segi sekuriti, antaramuka yang kemas serta khidmat bantuan yang premium. Tidak lupa juga, penyelarian perkhidmatan Google juga merupakan antara yang terbaik dan lebih mudah dan pantas untuk diakes secara rentas-peranti.
Anda bagaimana, adakah anda salah seorang pengguna yang melanggan Google One?