Pada sekitar 2000-an, Nintendo berjaya menguasai pasaran permainan mudah-alih menerusi produk GameBoy mereka. Mereka mula memasarkan GameBoy asal pada tahun 1989 dan kemudiannya model GameBoy Color pada tahun 1998. Kedua-dua model GameBoy ini telah berjaya terjual sebanyak 118.69 juga unit, sekaligus membuatkannya antara sistem permainan mudah-alih yang laris dijual di pasaran. Ia kemudiannya diteruskan oleh GameBoy Advance pada tahun 2001 – yang juga mencatatkan jualan yang tinggi iaitu sekitar 81.51 juta unit.
Perkara ini telah membuatkan Nokia berminat untuk mengeluarkan peranti berasaskan permainan, kerana ia mampu memberi pendapatan yang menguntungkan. Sebagai pengeluar telefon terbesar pada sekitar 2000-an, Nokia melihat peluang ini untuk menjadi pencabar terdekat kepada Nintendo. Malah, mereka ingin mewujudkannya dalam sebuah telefon mudah-alih – bagi memudahkan kebolehaan multi-pemain diwujudkan melalui sambungan Bluetooth dan internet. Pengguna juga tidak perlu lagi membawa dua peranti berbeza, kerana ia disatukan di dalam sebuah telefon pintar yang sering dibawa ke mana-mana.
Sewaktu hayatnya, Nokia N-Gage telah melalui fasa genting kerana gagal mencapai jumlah pengguna yang diharapkan. Peranti Nokia N-Gage hanya mencatatkan jualan di bawah 5 juta sahaja – iaitu sebuah angka yang cukup jauh apabila dibandingkan dengan jualan GameBoy. Ia kemudiannya diperkenalkan semula pada tahun 2007, namun turut gagal meraih pengguna. Akhirnya pada tahun September 2010, Nokia telah melenyapkan penjenamaan ini buat selama-lamanya setelah diasak oleh persaingan baru iaitu Apple App Store.
N-Gage 1.0
‘Nokia N-Gage’ pada awalnya hadir dalam bentuk telefon pintar sebelum ia dikembangkan kepada sebuah perkhidmatan. Model ini lebih dikenali di dalam era ‘Nokia N-Gage 1.0’ dengan menawarkan perkakasan, sambungan grafik, dan sambungan yang lebih asas. Pada era ini juga masih menawarkan kebolehan 3G, sekaligus perlu Nokia telah hadir dengan dua model di bawah era ini, iaitu N-Gage dan N-Gage QD.
N-Gage (Oktober 2003)
Peranti Nokia N-Gage telah menjadi taruhan awal Nokia untuk bersaing dalam arena ini. Ia merupakan sebuah telefon pintar, yang dikuasakan dengan platform Series 60 yang menjalankan Symbian OS v6.1. Perkara ini membolehkan peranti menikmati kebolehan pertukaran aplikasi (multi-tasking), pemasangan aplikasi dan permainan bergrafik intensif.
Disebabkan nama model ini hanya Nokia N-Gage sahaja, ia lebih dikenali sebagai N-Gage ‘Classic’ atau N-Gage Arena selepas perkenalan N-Gage QD. Rekaan peranti ini sebenarnya diinspirasikan daripada Nokia 5510 yang juga menawarkan rekabentuk yang hampir serupa. Peranti N-Gage asal ini menyerupai bentuk taco (iaitu sebuah makanan yang dibalut dengan tortilla) sehingga ia digelar sebagai ‘taco phone‘.
Apa yang membuatkan peranti ini cukup ikonik, kedudukan pembesar suara dan mikrofon peranti ini diletakkan pada bahagian sisi. Apabila pengguna menjawab panggilan, peranti perlu didengari melalui bahagian sisi – yang mana agak sedikit janggal apabila dilihat. Kebaikannya? Orang di sekeliling anda akan menyedari anda adalah pemilik kepada Nokia N-Gage. Peranti ini cukup popular sekitar tahun 2003-2006 atas rekaannya yang unik dan bersifat keremajaan.
Peranti ini menawarkan sejumlah fungsi menarik seperti FM Radio dan pemain MP3 yang dimainkan melalui RealOne Player. Ia juga menyertakan sambungan Bluetooth dan internet (melalui sambungan GPRS) untuk menghubungkannya ke perkhidmatan N-Gage Arena. Ia turut menyokong kad MMC sebagai storan luaran, namun anda perlu membuka bahagian bateri untuk meletakkan dan mengeluarkannya.
N-Gage QD (April 2004)
Pada April 2004, Nokia telah memperkenalkan peranti N-Gage generasi kedua menerusi perkenalan N-Gage QD. Ia membawa penambahbaikan dari segi rekaan, yang mana ia membawa saiz yang lebih kecil berbanding N-Gage versi asal. Rekaan sisinya juga tampil dengan binaan bergetah, yang mana getahnya boleh ditanggalkan untuk sokongan kustomasi.
Beberapa perkara telah ditambahbaik pada peranti ini seperti menyajikan rekabentuk yang lebih ergonomik. Ia tidak lagi membawa rekaan yang berpetak kerana ia menawarkan rekaan yang lebih membulat pada bahagian sisi. Lokasi pembesar suaranya juga telah ditempatkan pada bahagian atas kekunci, sekaligus tidak lagi perlu menggunakan posisi yang janggal ketika menjawab panggilan. Ia turut memberi kebolehan untuk pertukaran kad MMC yang lebih pantas, dengan meletakkan lokasinya pada bahagian sisi.
Namun peranti ini terdapat beberapa pengurangan seperti tidak lagi menawarkan sokongan FM Radio dan pemain MP3. Namun dengan penyertaan sistem operasi Symbian, pengguna masih boleh memasang UltraMP3 atau LCG Jukebox untuk pendengaran MP3 ini. Ia juga tidak membawa sambungan USB, sekaligus tidak membenarkan anda membuat pemindahan data melalui kabel ke PC.
Aplikasi
Nokia N-Gage 1.0 telah disertakan dengan perkhidmatan N-Gage Arena iaitu pusat sehenti untuk pengurusan permainan N-Gage ini. Ia membolehkan pengguna menyambung permainan ke internet, mendapatkan berita terkini mengenai permainan, dan acara yang bakal berlangsung pada platform N-Gage. Ia juga membolehkan pengguna berkomunikasi antara satu sama lain seumpama yang terdapat pada perkhidmatan Xbox Live.
Permainan
Permainan yang ditawarkan hadir dalam bentuk katrij yang berupa sebuah kad MMC. Ia perlu didapati secara fizikal kerana sambungan internet GPRS tidak dapat menampung saiz muat-turun yang besar. Namun sejumlah demo permainan boleh dimuat-turun daripada halaman N-Gage dan pengguna boleh meletakkannya pada kad MMC. Permainan daripada katrij juga boleh dikeluarkan – dengan membuat salinan folder permainan dari katrij tersebut dan meletakkannya pada kad MMC berasingan.
Dari segi pilihan permainan, ia mempunyai sebanyak 58 buah permainan sepanjang hayat N-Gage 1.0 ini. Antara permainan yang popular dimainkan di N-Gage 1.0 ini ialah FIFA Football 2005, Asphalt Urban GT 2, ONE, Ashen, dan Tomb Raider. Platform ini juga menampilkan sejumlah permainan yang menarik, seperti Civilization II, Crash Nitro Kart, Tom Clancy’s Ghost Recon: Jungle Storm, dan The Elder Scrolls Travels: Shadowkey.
N-Gage 2.0
Selepas melihat penjualan telefon N-Gage yang kurang memberangsangkan, Nokia meneruskan produk N-Gage ini di bawah strategi baru. Daripada membina sebuah telefon, Nokia membawanya sebagai sebuah platform yang boleh dipasang pada lebih banyak peranti Nokia. Informasi awal untuk produk ini telah diperkatakan sejak tahun 2005 dan sering diberi jolokan sebagai ‘N-Gage Next Generation’ kepada pengguna.
Pelancaran Nokia N-Gage asalnya akan dilancarkan pada sekitar Disember 2007 namun telah ditunda untuk memastikan kesemua perkhidmatan N-Gage ‘berjalan dengan lancar’. Nokia telah memulakan program beta N-Gage 2.0 ini sekitar sebulan, iaitu bermula 4 Februari hingga 27 Mac 2008 – dengan menawarkannya secara khas untuk peranti Nokia N81 terlebih dahulu. Tempoh ini dikenali sebagai “First Access” dan pengguna boleh memuat-turun aplikasi klien dan sejumlah permainan N-Gage ini secara percuma.
Selepas melalui fasa percubaan, perkhidmatan N-Gage 2.0 ini akhirnya diperkenalkan pada 3 April 2008. Terdapat lima telefon yang menyokong perkhidmatan ini pada permulaan, iaitu Nokia N81, N81 8GB, N82, N95, dan N95 8GB. Peranti-peranti Nokia yang lain kemudiannya ditambah secara berperingkat, yang mana kebanyakannya adalah peranti yang menjalankan platform S60v3.
Aplikasi
Perkhidmatan N-Gage 2.0 memerlukan pengguna memuat-turun aplikasi klien yang bertindak sebagai launcher. Setiap permainan perlu dibeli dan dipasang melalui aplikasi ini, namun pengguna masih diberi kebolehan untuk memasang permainan N-Gage secara manual melalui format .n-gage. Paparan aplikasi ini menyerupai seperti perkhidmatan Xbox Live, dengan menyertakan senarai permainan yang dipasang, profil, senarai rakan, dan pameran sejumlah permainan terkini. Ia boleh dikawal melalui butang D-Pad bersama butang kiri dan kanan ketika menavigasi aplikasi ini.
Permainan
N-Gage 2.0 telah menawarkan sebanyak 5 permainan ketika pelancaran iaitu Asphalt 3: Street Rules, Brain Challenge, Hooked On: Creatures of the Deep, System Rush: Evolution, dan World Series of Poker: Pro Challenge. Sewaktu hayatnya, N-Gage 2.0 mempunyai sebanyak 49 permainan yang telah dilancarkan, selain mencatatkan 12 permainan yang telah dibatalkan pembangunannya. Bagi penggemar permainan N-Gage 1.0, platform N-Gage terbaru ini tidak mempunyai backward compatibility atas ketidakserasian binary daripada platform S60 versi lama.
Antara permainan popular yang dimainkan di N-Gage 2.0 ialah FIFA 08, Asphalt 3: Street Rules, ONE, Resident Evil: Degeneration, dan Hooked On: Creatures of the Deep. Ia juga menyajikan beberapa permainan popular yang lain seperti The Sims 3, Worms World Party, Crash Bandicoot Nitro Kart 3D, Guitar Hero World Tour, Metal Gear Solid Mobile, dan Age of Empires III.
Permainan-permainan ini kesemuanya boleh dimuat-turun secara OTA melalui sambungan 3G atau WiFi. Ia tidak lagi memerlukan katrij seperti yang ditawarkan pada N-Gage 1.0. Anda juga boleh membelinya daripada PC dan kemudiannya dipasang ke telefon melalui sambungan kabel. Sekiranya anda gemar memasangnya secara manual, anda juga mendapatkan fail .n-gage dan membuka aplikasi klien N-Gage untuk memulakan pemasangan.
Harga jualan permainan-permainan ini juga boleh dikatakan agak standard, dengan menawarkan harga seperti kebanyakan permainan bergrafik intensif pada hari ini. Ia dijual pada harga bermula £4 hingga £8, yang mana dibezakan mengikut jenis permainan yang dikeluarkan.
Kebolehan grafik yang ditawarkan juga mempunyai peningkatan daripada N-Gage 1.0. Grafiknya melebihi grafik daripada permainan Java, namun berada di belakang permainan daripada Nintendo DS atau PSP. Sokongan audionya juga telah ditambahbaik, dengan membolehkan permainan mengeluarkan audio dalam bentuk stereo.
Kegagalan
Namun selepas setahun pengenalan platform ini, Nokia mengumumkan bahawa permainan untuk N-Gage 2.0 ini tidak lagi akan dihasilkan. Ia berlaku kerana platform baru N-Gage ini masih tidak menguntungkan atas kekurangan bilangan pengguna di platform ini. Para pembangun permainan juga sudah beralih kepada platform alternatif yang lebih memberi keuntungan kepada mereka.
Pada Mac 2011, Nokia mematikan kesemua perkhidmatan N-Gage ini, termasuk sokongan mengaktifkan DRM permainan. Mereka memaklumkan bahawa usaha permainan mudah-alih ini ia akan diteruskan melalui Ovi Store, namun akhirnya menemui kegagalan setelah ia menerima asakan daripada peningkatan Apple App Store. Ovi Store kurang diselia dengan baik, mempunyai kekurangan aplikasi, dan kurang diberi perhatian oleh pihak Nokia sendiri.
Walaupun N-Gage telah melalui pelbagai fasa kegagalan, usaha untuk membawa permainan mudah-alih pada telefon pintar masih diteruskan sehingga hari ini. Dengan penggunaan Android dan iOS yang semakin berkembang, pembangun dilihat lebih selesa untuk membangunkan permainan pada kedua-dua platform ini kerana ia lebih memberi keuntungan. Pengguna juga dapat menikmati sokongan grafik yang lebih baik, atas kemajuan telefon pintar yang semakin berkembang dari hari ke hari.