Carian
Samsung Galaxy S10+ Dengan 12GB RAM Dan 1TB Storan Mula Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM5999
March 28, 2019 Aman

Samsung ketika pelancaran Galaxy S10+, telah hadir dengan beberapa variasi pilihan, termasuk yang paling berspesifikasi tinggi adalah versi 1TB storan. Ketika pelancaran Galaxy S10+ di Malaysia tempoh hari, ia tidak difokuskan kerana harga penawarannya yang tinggi. Hal berkenaan berubah hari ini apabila terdapat beberapa penjual tempatan telah mula menawarkan set rasmi Galaxy S10+ 1TB bersama-sama jaminan rasmi Samsung Malaysia.

Samsung Galaxy S10

Bersama-sama dengan pilihan storan bersaiz besar, model ini juga menawarkan memori lebih tinggi, iaitu 12GB RAM berbanding model biasa yang menawarkan memori 8GB RAM.

Dari segi spesifikasi, Galaxy S10+ menggunakan skrin 6.4-inci Dynamic AMOLED, cip Exynos 9820, sokongan tri-kamera 12MP + 12MP + 16MP, selain bateri berkapasiti 4100mAh. Secara kasarnya, penawaran yang hadir adalah sama seperti model Galaxy S10+ sedia ada, tetapi dengan perbezaan dari segi memori dan storan sahaja.

Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkan model baru ini daripada beberapa penjual tempatan pada harga RM5999. Malah terdapat penjual seperti DirectD yang menawarkan Galaxy A9 secara percuma bersama-sama pembelian model ini.

Komen