Apple menggunakan Apple ID untuk sokongan pembayaran bagi pembelian kandungan pada platform mereka. Sebelum ini, Apple ID hanya menyokong mod pembayaran menggunakan kad kredit, kad debit, dan juga melalui bil telekomunikasi. Kini, Apple turut menambah sokongan untuk salah satu dompet nirtunai tempatan, iaitu Touch n Go Ewallet.
Dengan penggunaannya, anda boleh mengintegrasikan sokongan Touch ’n Go Ewallet untuk pembayaran, dan penolakkan duit akan dilakukan terus ke dompet nirtunai TNG anda. Langkah ini sekaligus memberikan anda alternatif mod pembayaran – apatah lagi dengan kemudahan untuk membuat tambah-nilai pada dompet TNG anda.
Bagi menggunakannya, anda hanya perlu ke halaman tetapan, dan memilih Touch ’n Go Ewallet melalui bahagian tetapan pembayaran.
Seterusnya anda akan dihantar dengan sebuah kod OTP ke nombor telefon berdaftar dengan Touch ’n Go Ewallet bagi mengesahkan integrasi ini. Anda seterusnya boleh memasukkan kod berkenaan, dan mula menggunakan dompet nirtunai berkenaan dalam melakukan pembelian menggunakan Apple ID.
Langkah ini sekaligus akan memudahkan lagi pengguna tempatan membuat pembelian kandungan di App Store, termasuk aplikasi dan permainan – apatah lagi dengan beberapa perkhidmatan Apple baru bakal diperkenalkan pada tahun ini.
Ini juga sekaligus memberikan kelebihan kepada Touch ’n Go dalam menarik lebih ramai pengguna berbanding dompet nirtunai yang lain.
Bagi pengguna Apple, anda boleh mencuba integrasi Touch ’n Go eWallet pada akaun anda hari ini.
Terima kasih Salam untuk tips.