Carian
Sony Mengesahkan Akan Mengurangkan Penjualan Telefon Pintar Di Asia Tenggara
March 31, 2019 Effi Saharudin

Jika anda pembaca tegar Amanz sejak tujuh tahun yang lalu anda pasti tahu saya adalah peminat tegar telefon pintar keluaran mereka. Mereka antara yang terawal membawakan fungsi kalis air pada peranti dan mementingkan kemampuan audio yang tinggi. Tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini tiada peranti baharu mereka seperti Xperia XZ3 dilancarkan di Malaysia. Peranti terakhir dibawa masuk secara rasmi ialah Sony Xperia XZ2 Premium.

Menurut laporan Nikkei Asian Review semalam, Sony akan mengurangkan penjualan telefon pintar mereka di Asia Tenggara. Tumpuan akan diberikan kepada pasaran Eropah dan Asia Timur sahaja mulai sekarang. Ini adalah sebahagian daripada proses penstrukturan semula Sony bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh perniagaan peranti mudah alih. Kemungkinan besar peranti terkini seperti Xperia 1 dan Xperia 10 tidak akan dilancarkan di Malaysia kini adalah tinggi.

Minggu lalu Sony Mobile digabungkan ke dalam bahagian produk TV, audio dan kamera. Strategi ini sudah dilihat pada Xperia 1 yang mempunyai kemampuan kamera yang akhirnya menerima sentuhan bahagian kamera Sony Alpha. Dengan tiada lagi saingan di antara perniagaan peranti mudah alih, TV, audio dan kamera, produk yang lebih sehaluan dalam dihasilkan.

Pada waktu yang sama penggabungan dan penstrukturan ini akan mengakibatkan 2000 kakitangan Sony Mobile yang bersamaan dengan 50% tenaga kerja yang diberhentikan oleh Sony. Mereka akan dipindahkan ke bahagian lain Sony atau mengambil skrin persaraan secara sukarela.

Untuk tahun fiskal 2018, Sony Mobile dijangka hanya berjaya menjual 6.5 juta peranti. Ini adalah separuh dari jualan tahun fiskal 2017 dan 1/6 dari jualan lima tahun yang lalu.

Komen