Penyelidik UiTM Menemui Cara Lebih Murah Untuk Menghasilkan Adikapasitor

Penyelidik UiTM Menemui Cara Lebih Murah Untuk Menghasilkan Adikapasitor

Diterbitkan pada Apr 1, 2019 oleh .

Teknologi bateri yang tidak bergerak selari dengan teknologi semasa adalah tumit Achilles telefon pintar di tangan anda sekarang. Keperluan tenaga meningkat tetapi bateri yang lebih kompak dan tahan lama masih belum mampu dihasilkan. Bateri Li-Ion juga mempunyai hayat terhad beberapa ribu kitaran pengecasan sebelum tidak lagi memberikan prestasi optimum.

Antara teknologi yang sedang dibangunkan untuk menguasai peranti ialah menggunakan adikapasitor. Ia boleh dicas dengan pantas tetapi kos menggunakan karbon-grafena adalah amat tinggi. Menurut laporan The Star, pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan National Chiao Tung University Taiwan berjaya menemui cara lebih murah menghasilkan adikapasitor. Profesor Madya Dr Tan Winie dari fakulti sains gunaan UiTM mengetuai pasukan penyelidik Malaysia ini.

Bahan oksida logam peralihan dari unsur besi dan kobalt digunakan sebagai ganti karbon-grafena. Kos menghasilkan oksida logam peralihan ini hanya RM2 untuk setiap gram berbanding sekitar RM500 untuk karbon-grafena. Ini mengurangkan kos menghasilkan adikapasitor untuk kegunaan massal.

Adikapasitor berguna untuk peranti yang memerlukan tempoh pengecasan yang adipantas tetapi mempunyai tempoh penggunaan yang pendek. Ia masih tidak boleh digunakan sebagai bateri kerana kemampuan menyimpan cas yang kecil. Ia walau bagaimanapun tidak kehilangan kemampuan menyimpan caj sepantas bateri Li-ion.

Penyelidik dari UiTM dan National Chiao Tung University Taiwan kini melakukan lebih banyak ujian bagi memastikan bahan oksida logam peralihan yang digunakan selamat dan stabil bagi mengelakkan risiko letupan serta terbakar. Langkah seterusnya pula ialah menghasilkan adikapasitor yang mampu menyimpan kemampuan mengecas sehingga lima tahun.


TIPS & ULASAN