Microsoft Surface Book 2 ialah sebuah peranti tablet yang hadir dengan dok papan kekunci yang menjadikannya sebuah laptop premium. Ia hadir dengan dua saiz yang berbeza (13.5 inci, 15 inci) dan spesifikasi dalaman yang berkuasa.
Terkini, Microsoft nampaknya telah mengemaskini peranti Surface Book 2 tersebut dengan menambahkan satu pilihan cip pemprosesan baru, iaitu Intel Core i5 generasi kelapan yang hadir dengan empat teras pemprosesan berbanding dengan dua sahaja pada CPU Intel Core i5 generasi ketujuh sebelum ini.
Dari segi memori dan storan, peranti Surface Book 2 dengan CPU Intel Core i5 generasi kelapan ini dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD sebanyak 256GB.
Kemaskini ini nampaknya hanya hadir untuk peranti Surface Book 2 bersaiz 13.5 inci dengan spesifikasi kelas pertengahan, kerana model 15 inci masih lagi dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kelapan dan memori sebanyak 16GB dan storan SSD sebesar 1TB.
Dari segi harga, model peranti Microsoft Surface Book 2 terbaru ini berharga $1499 (~RM6000) dan hadir untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja buat masa ini.