Cari @ Amanz

2.15 Juta Butiran Kad Kredit Dicuri Sepanjang 2018-2019 Melalui Sistem Penjualan Restoran-Restoran Dibawah Earl Enterprises

Oleh Nazrin

Link Copied!

Kerentanan sekuriti mengenai kad kredit bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi kali ini, laman web sekuriti KrebsOnSecurity telah melaporkan bahawa sebanyak 2.15 juta butiran kad kredit telah dicuri oleh penggodam sepanjang 2018 dan 2019 tanpa diketahui oleh syarikat yang terkesan akibat perisian hasad yang dipasang pada sistem penjualan syarikat-syarikat dibawah naungannya.

Menurut KrebsOnSecurity, pada awal tahun 2018, sekumpulan penggodam telah menggunakan kerentanan sekuriti pada sistem penjualan (point of sales) restoran-restoran dibawah naungan Earl Enterprises, dan sejak bulan Mac 2018 sehinggalah bulan Mac 2019, mereka telah mencuri butiran-butiran kad kredit tanpa pengetahuan sesiapa.

Pada bulan Februari 2019, pihak KrebsOnSecurity telah memerhatikan bahawa sejumlah besar butiran kad kredit sedang dijual di pasaran gelap, dan telah menjejaknya kepada restoran-restoran yang dimiliki oleh Earl Enterprises.

Earl Enterprises ialah syarikat induk untuk beberapa restoran di seluruh Amerika Syarikat, termasuklah Planet Hollywood, Chicken Guy! dan Buca di Beppo, dan nampaknya kebanyakan daripada restoran-restoran tersebut terkesan dengan kerentanan sekuriti tersebut, tetapi menurut Earl Enterprises, ia telahpun diperbaiki.

Mereka juga telah membuka satu laman web untuk membolehkan para pelanggan melihat jika mereka pernah melawat lokasi-lokasi restoran yang terkesan pada waktu godaman tersebut berlaku, dan menasihati para pelanggan mereka untuk membuat laporan kepada pihak bank jika terdapat sebarang pembelian tidak diketahui berlaku.


Komen ()