Black Shark adalah pengeluar yang menghasilkan peranti yang memfokuskan permua. Ia juga merupakan syarikat yang disokong oleh Xiaomi. Peranti terbaru mereka adalah Black Shark 2, di mana ia merupakan peranti ketiga selepas Black Shark dan Black Shark Helo.
Mengejutkan, peranti yang dilancarkan di China pada 18 Mac lalu hari ini telah dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Ia agak pantas jika dibandingkan dengan peranti yang sebelumnya. Saya dapat menggunakan Black Shark 2 dalam jangka masa yang pendek, ini adalah padang pertama buat peranti gaming pertama dan peranti Snapdragon 855 pertama di Malaysia tahun 2019.
Seperti telefon pintar lain yang memfokuskan permua, sistem penyejukan terbina adalah wajib disertakan. Tetapi, pada Black Shark 2 ini ia adalah unik dan berbeza dari peranti lain. Ia mempunyai dua sistem penyejukan berbeza. Satu adalah sistem penyejukan cecair dan satu lagi adalah sistem penyejukan udara.
Untuk skrin, ia menggunakan saiz 6.39-inci TrueView Display dengan teknologi TrueClarity daripada panel AMOLED. Ia turut mempunyai sokongan HDR dan menariknya, ia adalah satu-satunya peranti didunia dengan latensi sesentuh paling rendah. Pada paparan Black Shark 2, ia turut mempunyai cip pemproses tersendiri untuk memastikan skrin peranti beroperasi dengan cemerlang. Atas percubaan bermain Asphalt 9 tadi, ia mempunyai warna yang cukup cantik dan terang. Tetapi, kecerahannya tidak memuaskan hati.
Menguasakan peranti ini adalah cip pemproses terkini Snapdragon 855 yang dipadankan dengan pilihan memori 8/12 GB RAM dan storan dalaman 128/256 GB. Secara teorinya, jumlah memori yang sangat mencukupi untuk bermain permua yang bergrafik tinggi serta menjalankan banyak aplikasi untuk multi-tugasan.
Untuk pembesar suara pula ia hadir dengan pembesar suara stereo di hadapan yang digelar Dynamic Audio. Ia dioptimasikan dengan Black Shark AI untuk memberikan pengalaman pendengaran audio yang imersif. Untuk menjadikan pengalaman bermain permua yang lebih mengasyikkan, Black Shark 2 hadir dengan Shark Space. Ia adalah pelancar khas yang perlu diaktifkan melalui butang fizikal khas. Dalam pelancar ini terdapat banyak lagi fungsi seperti Ludricous Mode, Game Dock, hab kawalan alat kawalan dan banyak lagi untuk menigkatkan prestasi peranti.
Motor getaran pada peranti ini memberi pengalaman bermain permua seakan Game Turbo pada Huawei atau Asus ROG Phone. Rekaan antena pula adalah dwi-antena bentuk X yang dikatakan tidak akan menghalang sebarang penyambungan rangkaian jika peranti dipegang ketika bermain. Black Shark 2 hadir dengan kapasiti bateri 4000mAh, dengan sokongan pengecasan pantas 27W yang menyokong sambil cas sambil main tanpa masalah peranti memanas. Masa pengecasan pula adalah 60% dalam masa 30 minit dan ia berasaskan QC4.0.
Black Shark tidak memfokuskan kualiti kamera. Tetapi masih mengikut trend penggunaan lensa terkini – lensa 48MP. Lensa 48MP ini turut digabungkan dengan lensa 12MP. Ia tidak sehebat peranti mercu lain, tetapi mencukupi. Untuk kamera swafoto pula adalah 20MP dan kamerany menggunakan kamera Mi Camera yang sama pada peranti Xioami. Jika nada perasan di belakang peranti ini tiada pengimbas cap jari. Ini kerana ia hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin. Untuk sistem operasi pula, ia menjalankan Joy UI berasaskan Andorid 9.0 Pie. Jika sebelum ini Joy UI adalah MIUI yang diubahsuai, tetapi pada Black Shark 2 ia adalah berasaskan Android asli, jadi tiada langsung aplikasi mengarut terpasang. Apa yang ditambah hanyalah pada bahagian tetapan; Game Dock dan Light Setting sahaja.
Rekaan peranti ini dilihat hampir serupa sahaja dengan Black Shark yang sebelumnya. Di bahagian hadapan mempunyai bingkai yang lebih nipis, ketebalan peranti juga lebih nipis. Di keliling ia diperbuat daripada bahan seakan logam dan di setiap sisi terdapat satu RGB strip. Di belakang pula, adalah logam dan plastik bersama-sama dengan logo Black Shark yang turut merupakan lampu RGB. Memegang peranti cukup selesa dan kerang yang disediakan juga tidak tebal. Menarik, tiada bonjol kamera.
Tambahan lain yang menjadikan peranti ini adalah ‘pengganti’ kepada Nintendo Switch adalah, ia mempunyai banyak aksesori unik. Seperti alat kawalan seakan Joy-Con, kerangka berkipas seakan aksesori Asus ROG Phone, sokongan kabel HDMI dan banyak lagi.
Dalam penggunaan tempoh pendek ini, saya dapat rasakan ia memang sebuah peranti permua yang cemerlang dan hebat. Tetapi, kamera pada saya sangat teruk untuk peranti yang berharga lebih RM2000. Tetapi, jika dinilai dari segi ciri dan fungsi sebagai sebuah peranti gaming – ia tidak dinafikan terbaik.
Black Shark 2 boleh didapatkan di Malaysia secara rasmi. Ia dijual pada harga RM2499 untuk variasi 8/128 GB dan RM2999 untuk variasi 12/256 GB. Pilihan warna yang dijual di Malaysia pula adalah Shadow Black dan Frozen Silver sahaja. Sayang sekali, Warna Glory Blue yang pada saya lebih menawan tidak dijual di Malaysia.