Cari @ Amanz

Teknologi pengimejan pada telefon pintar telah melalui pelbagai fasa perubahan yang drastik. Ia pada mulanya hanya digunakan sebagai kamera kecemasan untuk menggantikan tugasan kamera digital atau DSLR secara sementara. Namun lama-kelamaan, ia telah mula menawarkan sejumlah fungsi seumpama kamera sebenar sejajar dengan kemajuan teknologi yang berkembang dari hari ke hari. Antaranya telefon kini telah disertakan dengan mod Portrait, yang membolehkan pengguna menawarkan kesan kabur di bahagian belakang wajah.

Salah satu teknologi pengimejan yang diberi perhatian ialah kemampuan zoom yang lebih baik. Ia membolehkan pengguna mengambil gambar subjek dengan lebih dekat, tanpa perlu menuju ke lokasi yang berhampiran dengan subjek tersebut. Pada sebelum ini, teknologi ini memerlukan perkakasan kamera yang besar dan mahal, namun telah diatasi dengan adanya teknik dan invoasi yang telah diperlihatkan oleh pengeluar.

Teknologi zoom optikal atau nirhilang bukanlah sesuatu yang baru pada telefon pintar. Ia telah diperkenalkan sejak tahun 2006 melalui Nokia N93 – dengan menyertakan kebolehan 3x zoom optikal. Cuma ia dipopular kembali pada akhir tahun 2017 apabila Apple melancarkan iPhone 7 Plus. Peranti ini telah menggunakan teknik dwi-kamera, bagi membolehkan sensor telefoto diletakkan pada kamera kedua. Dengan adanya sensor telefoto ini, ia membolehkan pengguna mendapatkan penggamabran zoom optikal sebanyak 2 kali, tanpa pengurangan kualiti yang drastik berbanding hasil gambar daripada sensor utama.

Teknologi 2x zoom optikal ini kemudiannya giat diperkenalkan pada kebanyakan telefon pintar selepas keluaran iPhone 7 Plus. Ia termasuk model iPhone yang seterusnya, iaitu iPhone 8 Plus, iPhone X, dan siri iPhone XS. Beberapa pengeluar lain turut menawarkan fungsi ini, seperti Xiaomi Mi A1, Samsung Galaxy Note 8/9, Galaxy S9+, dan Galaxy S10/S10+. Tetapi Huawei telah meningkatkan keupayaannya dengan lebih baik, melalui tampilan 3x zoom optikal pada Huawei P20 Pro dan Huawei Mate 20 Pro.

Pada akhir Mac 2019, Huawei telah melancarkan Huawei P30 Pro dengan memperlihatkan teknologi penggambaran zoom yang jauh lebih baik. Telefon ini hadir dengan kebolehan 5x zoom optikal dan 10x zoom nirhilang (loseless zoom) yang mana ia dijayakan melalui teknologi periskop. Huawei juga membenarkan kamera peranti ini melakukan zoom melebihi 50x, namun kualitinya akan berkurangan kerana ia menggunakan teknik digital secara sepenuhnya.

Sebelum Huawei memperlihatkan kebolehan 10x zoom nirhilang pada Huawei P30 Pro, OPPO terlebih dahulu telah memperlihatkan teknologinya pada acara MWC 2019. Teknologi ini adalah kesinambungan daripada konsep 5x zoom, yang juga telah diperlihatkan oleh OPPO pada MWC 2017. Tiada sebarang peranti yang menggunakan teknologi zoom 5x ini, namun OPPO mensasarkan teknologi 10x zoom nirhilang ini bakal disertakan pada peranti keluaran mereka tidak lama lagi.

Peranti Ujian

Kami bersempatan untuk mencuba teknologi zoom daripada OPPO ini pada acara MWC 2019, namun masa yang diberikan agak terhad. Peranti ujian yang diberikan juga tidak dapat dibawa secara bebas, kerana ia telah ditempatkan secara bertali di atas meja. Ia juga hanya boleh diuji dalam ruang pameran yang tertutup, sekaligus menyukarkan kami untuk mencubanya dengan lebih intensif. Pada waktu itu, OPPO hanya menyajikan prop berupa bandar mini untuk dijadikan sebagai subjek ketika mencuba peranti ini. Ujian ini hanya dilakukan secara ringkas dan tidak begitu menggambarkan hasil percubaan di dunia sebenar.

Namun OPPO telah mengadakan satu sesi media tertutup di Kuala Lumpur untuk membolehkan kami mendekati peranti ini dengan lebih lagi. Pada kali ini, kami diberi unit percubaan ini dengan lebih bebas, tanpa ditempatkan secara bertali pada sebelum ini. Kami juga dibenarkan untuk mengambil sejumlah permandangan Kuala Lumpur dari tingkat 51, di sebuah bangunan yang bertempat di tengah-tengah bandaraya ini.

Unit percubaan yang diberikan adalah unit yang sama digunakan pada acara MWC 2019. Ia merupakan unit percubaan yang tidak bernama, namun rekaan dan saiznya boleh dikatakan agak menyerupai seperti OPPO R17 Pro. Rekaan belakangnya ditutupi dengan binaan berasaskan getah, untuk memberi petanda bahawa ia adalah peranti yang digunakan untuk ujian. Apa yang menarik, rekaan kameranya tidak begitu tersembul keluar, walaupun ia hadir dengan sejumlah teknologi kamera baru. OPPO mengatakan ia mempunyai ketebalan hanya 6.75mm, sekaligus memberi penjimatan ruang sebanyak 120% berbanding modul kamera pada OPPO R17 Pro.

Peranti ini hadir dengan spesifikasi yang anda boleh dapati pada sejumlah besar peranti mercu untuk tahun 2019. Dengan penggunaan kebolehan zoom yang lebih tinggi, ia sangat memerlukan cip pemprosesan yang lebih berkuasa untuk melancarkan lagi proses hasilan imej. Paparannya dilihat hadir dengan panel AMOLED, selain menyertakan sambungan USB-C pada bahagian bawah. Antaramukanya juga telah dijana dengan Color OS terkini, melalui janaan sistem operasi Android 9.0 Pie.

Perkakasan Kamera

Peranti ujian ini menempatkan sistem tri-kamera pada bahagian tengah, dengan meletakkan sensor ultra-bersudut-lebat, sensor utama untuk penggambaran harian, dan sensor telefoto untuk kebolehan zoom. Keupayaan penggambaran ini dilengkapi dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS) dalam mengurangkan kesan gegaran sewaktu membuat rakaman. Namun ia tidak membawakan sebarang sokongan pencahayaan flash terbina dan mungkin akan dibawa pada produk akhir kepada pengguna.

Kamera pertama pada peranti ini menempatkan sensor ultra-bersudut-lebar yang membolehkan pengguna mengambil gambar 120-darjah. Sensor ini cukup berguna sekiranya anda ingin mengambil gambar permandangan atau gambar beramai-ramai di ruangan yang terhad. Ia membolehkan lebih banyak subjek dimasukkan ke dalam gambar, tanpa anda perlu berganjak ke belakang terlebih dahulu.

Untuk memberi penggambaran harian yang lebih baik, OPPO telah menyertakan sensor 48MP pada kamera kedua peranti ini. Ia memanfaatkan teknologi pixel binning, dengan memberi hasilan yang lebih terang dan tajam melalui gambar beresolusi 12MP. Sensor ini dilihat lebih mesra untuk digunakan ketika harian, kerana ia mampu memberi hasilan yang lebih menyerlah terutama pada situasi pencahayaan yang rendah.

Untuk kamera ketiga, ia telah dilengkapi dengan sensor telefoto melalui janaan sistem berasaskan periskop. Ia membolehkan kamera membuat zoom sebanyak nihilang sebanyak 10x, selain membolehkan pengguna menikmati zoom digital sebanyak 20x. Dengan adanya sensor telefoto ini, anda masih boleh mendapatkan hasilan gambar yang terang walaupun anda berada jauh daripada subjek tersebut.

Pengalaman Mencuba

Aplikasi kamera pada peranti ujian ini dilihat hanya menawarkan sejumlah fungsi penggambaran asas. Ia hanya membolehkan pengguna mengambil gambar, mengawal zoom, dan melihat gambar yang telah diambil. Ia tidak menawarkan sebarang kebolehan penggambaran lain seperti mod manual, HDR, dan mod Portrait, sekaligus memfokuskannya kepada kebolehan untuk menguji mod zoom sahaja.

Sewaktu mencuba peranti ini, saya dapati butang zoom ini tidak boleh ditekan begitu sahaja untuk menukar mod zoom. Ia sebaliknya perlu menggerakkan jari anda, untuk mengawal kebolehan zoom dari 1.0x sehingga 20x. Indikator zoom ini akan terpapar dengan jelas, dalam membolehkan anda membaca nilai zoom yang ingin anda digunakan. Prestasi ketika mengubah zoom juga dilihat sangat pantas, selain membolehkan anda mengambil gambar dengan serta merta.

Apabila anda membuat pertukaran nilai zoom, anda akan dapati sejumlah nilai zoom ini akan mengalami pertukaran dari sensor berbeza. Apabila anda membuat zoom dari 1.0x ke 1.7x, anda akan akan dapati sensor ultra-bersudut-lebar akan bertukar ke sensor utama 48MP. Apabila anda melaraskannya ke zoom sebanyak 8.2x, ia akan menukar dari sensor utama 48MP ke sensor telefoto. Anda sebenarnya boleh melihat perubahan ini melalui perubahan white balance dan kualiti imej, apabila anda menukar nilai zoom dari 1.0x – 1.7x – 8.2x.

Secara kasarnya, sensor ultra-bersudut-lebar akan menggalas zoom dari nilai 1.0x hingga 1.6x dan sensor utama 48MP akan menggalas zoom dari nilai 1.7x hingga 8.1x. Manakala untuk sensor telefoto, ia akan menggalas nilai zoom dari 8.2x hingga 20x. Daripada percubaan ini, kebolehan zoom optikal berada pada angka 8.2x, sekaligus mencatatkannya sebagai peranti dengan kebolehan zoom optikal tertinggi setakat ini.

Untuk nilai zoom di antara 8.3x hingga 10x, peranti ini akan menggunakan teknik zoom nirhilang (loseless) bagi menjaga kualiti gambar. Selepas dari angka 10x, teknik zoom daripada peranti ini akan digalas sepenuhnya melalui kaedah digital. Penggunaan zoom digital akan mengurangkan kualiti gambar dan tidak disyorkan untuk anda yang mahukan kualiti penggambaran berkualiti tinggi.

Kualiti imej yang dipersembahkan dilihat sangat baik, lebih lebih lagi apabila anda menggunakan nilai zoom permulaan bagi setiap sensor, iaitu 1.0x (ultra-bersudut-lebar), 1.7x (48MP), dan 8.2x (telefoto). Ia dilihat sangat tajam dan mampu mengekalkan sejumlah keperician imej dengan sangat baik. Dengan adanya OIS, sejumlah besar imej dapat memberi hasilan yang sangat stabil walaupun anda memegang peranti ini melalui tangan anda. Di bawah ini adalah sejumlah contoh gambar yang diambil melalui ujian ringkas kami.

Penutup

OPPO dijangka akan membawa teknologi kamera dengan 10x zoom ini pada peranti mercu mereka. Peranti ini dijangka akan diperkenalkan dalam tahun ini juga, namun tiada sebarang jangka masa diberikan untuk tarikh pelancarannya. Apa-apa pun, teknologi zoom ini dilihat mempunyai potensi yang cemerlang dalam menawarkan kualiti yang sangat baik. Ia mampu menghasilkan gambar yang jelas dan tajam, sekaligus memberi manfaat kepada pengguna dalam menikmati kebolehan zoom 10x pada sebuah telefon pintar yang mudah dibawa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd