SKMM hari ini melalui laman rasmi mereka mengumumkan yang mana Malaysia akan menjadi antara terawal di Asia yang mempertontonkan penggunaan teknologi – sekaligus melihat kepada impak positif yang bakal dibawa oleh rangkaian generasi baru berkenaan.
5G seperti semua sedia maklum, bakal menawarkan akses data yang lebih pantas berbanding kebiasaan, selain kadar pendam masa rendah untuk komunikasi masa-nyata antara peranti berhubung. Ini juga sekaligus akan membawa kepada penggunaannya dalam sejumlah perkhidmatan baru seperti dalam penggunaan kesihatan, automotif, bandar pintar, pengeluaran, pertanian, pendidikan dan sebagainya.
SKMM mengatakan mereka akan mempertontonkan teknologi 5G ini pada 18 April 2019 di Putraya, sebelum ia dibuka kepada umum pada 20 dan 21 April 2019 ini.
Menurut SKMM, pelbagai syarikat dan institusi akan menyertai acara berkenaan, termasuk Celcom, Digi, Ericsson, Huawei, Malaysia Automotive Robotics IoT Institute (MARii), Maxis, Nokia, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga ZTE.
Antara teknologi dunia nyata yang akan dipertontonkan adalah termasuk diagnosis kesihatan jarak-jauh, bentuk pendidikan baru, sokongan e-sukan melalui paparan 4K, holoportasi, kenderaan swapandu, dron, robot, pengeluaran pintar, kelas maya, dan juga kampus pintar.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan penghujung bulan ini untuk melihat kejutan yang disediakan oleh pihak SKMM melalui pertontonan 5G ini.