Google Camera 6.2 Membawa Mod Paparan Berwarna Gelap Dan Fungsi Pengukur Berasaskan AR

Google Camera 6.2 Membawa Mod Paparan Berwarna Gelap Dan Fungsi Pengukur Berasaskan AR

Diterbitkan pada Apr 2, 2019 oleh .

Google Camera merupakan aplikasi kamera yang ditawarkan secara eksklusif untuk peranti Google – walaupun kini ia telah diolah untuk digunakan pada peranti lain. Ia menawarkan beberapa kebolehan unik seperti HDR+ dan Night Sight bagi membolehkan pengguna mendapatkan hasil penggambaran yang lebih baik. Melalui versi Google Camera 6.2 yang terkini, Google telah menambah sejumlah fungsi baru untuk menambahbaik pengalaman penggunaan aplikasi ini.

Antara fungsi yang sering diminta oleh pengguna ialah kebolehan untuk mengaktifkan tema berwarna gelap. Paparan ini akan menjadikan halaman tetapan tampil dalam warna gelap – termasuk paparan menu pop up yang memaparkan sejumlah pilihan fungsi. Fungsi ini perlu diaktifkan secara manual oleh pengguna dengan melakukannya pada halaman tetapan Google Camera.

Google Camera 6.2 kini turut menyertakan kebolehan untuk mengukur sesuatu perkara melalui penyertaan fungsi Measure. Ia sebelum ini ditawarkan melalui aplikasi berasingan, dan kini ia telah disertakan di dalam satu aplikasi. Seperti aplikasi Measure sebelum ini, ia dijayakan dengan teknologi ARCore bagi kebolehan mengenal pasti ukuran berdasarkan subjek di dunia sebenar.

Selain daripada fungsi Measure, Google dilihat akan menyertakan mod Time Lapse melalui projek yang dinamakan sebagai “Cheetah”. Implementasi ini akan membenarkan pengguna membuat rakaman video dengan kadar laju, yang mana akan disertakan pada halaman “More” aplikasi ini. Fungsi ini dilihat berguna apabila pengguna ingin merakam sesuatu proses pembinaan sesuatu perkara, dan melihatnya dengan hasil rakaman yang lebih menarik.

Kemaskini aplikasi Google ini telah mula diedarkan secara berperingkat kepada pengguna yang menggunakan peranti Google Pixel. Ia boleh dimuat-turun melalui kemaskini pada halaman Play Store, atau memuat-turunnya secara manual melalui halaman APK Mirror.


TIPS & ULASAN