Cari @ Amanz

Memancing ialah hobi yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Penantian selama berjam lamanya tidak bermakna ikan yang besar akan dapat ditangkap. Kerap kali ketika menanti umpan disambar, pemancing mungkin terlelap kerana kebosanan. Sesuai dengan peredaran zaman, takal pintar Smart Connect telah dihasilkan dan ia menghantar notifikasi ke peranti pintar apabila umpan dimakan ikan.

Smart Connect ialah takal pintar yang ditambat pada telefon pintar dan mengesan getaran pada joran. Menerusi aplikasi khusus Android dan iOS, notifikasi akan diterima oleh pengguna supaya mereka tidak perlu risau terlepas ikan yang melekat pada mata kail. Ini boleh dilakukan menerusi bunyi penggera, lampu berkelip-kelip atau notifikasi berbentuk teks. Sebanyak empat Smart Connect boleh ditambat serentak ke sebuah telefon pintar. Dengan sekali caj, Smart Connect boleh beroperasi selama 40 jam dan dicaj semula menggunakan port mikroUSB. Harga jualan takal pintar ini ialah $119 (~RM 420) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd