Cari @ Amanz

Pembelian E-Buku Tidak Lagi Ditawarkan Di Microsoft Store

Link Copied!

Microsoft Store merupakan gedung digital yang menawarkan sejumlah aplikasi, permainan, dan beberapa filem yang menarik. Ia boleh digunakan pada peranti berasaskan Windows, seperti di PC, tablet, dan konsol Xbox One. Namun salah satu bahagian telah pun dikeluarkan daripada Microsoft Store ini iaitu bahagian untuk pembelian e-Buku.

Microsoft telah mengesahkannya melalui sebuah e-mel yang dihantar kepada pengguna. E-mel tersebut memaklumkan bahawa mereka telah mula menghentikan penjualan e-buku ini bermula 2 April.

Menariknya, para pengguna yang telah membeli e-buku di Microsoft Store ini akan diberikan pemulangan wang. Pengguna hanya perlu menghubungi Microsoft untuk mendapatkan semula wang daripada pembelian e-buku ini. Pengguna juga telah diberi tempoh untuk mengakses e-Buku yang telah dibeli ini sehingga Julai 2019.

Microsoft telah mula menawarkan pembelian e-buku di Microsoft Store pada 18 Januari 2017. Namun bahagian ini jarang diakses oleh pengguna, yang mungkin berikutan daripada persaingan yang hebat daripada Amazon Kindle dan Google Play Books. Jadi dengan pembuangan bahagian ini, ia mungkin tidak memberi kesan kepada sejumlah besar pengguna kerana ia masih terdapat gedung alternatif yang lebih baik.


Komen ()