Telefon pintar berasaskan Windows nampaknya kehilangan sebuah lagi aplikasi asas yang popular. Sebelum ini kita telah lihat aplikasi seperti Waze dan Spotify tidak lagi dibangunkan untuk platform ini. Pada hari ini, Instagram telah mengumumkan penamatan sokongan mereka untuk peranti Windows 10 Mobile melalui pemberian notis di dalam aplikasi.
Apabila anda membuka aplikasi Instagram pada peranti Windows 10 Mobile, anda akan menerima sebuah notis berkenaan dengan penamatan ini. Instagram memberitahu bahawa mereka tidak lagi menyokong aplikasi mereka di Windows 10 Mobile bermula 30 April ini.
Walau bagaimanapun, Instagram masih membenarkan pengguna mengakses perkhidmatan ini melalui pelayar web. Ia masih membolehkan pengguna menghantar gambar atau mengikuti rakan-rakan anda di Instagram. Beberapa alternatif lain juga masih tersedia pada platform ini, seperti aplikasi Winsta dan 6Tag.
Jadi bagi anda masih menggunakan peranti Windows 10 Mobile, kehilangan aplikasi rasmi Instagram ini mungkin sedikit terkesan bagi anda yang kerap menggunakan perkhidmatan ini. Dengan adanya pelayar web moden di dalam platfrom mudah-alih ini, kebanyakan fungsi Instagram masih tersedia walaupun ia tidak lagi menyokong sokongan aplikasi natif. Cuma fungsi seperti rakaman video langsung daripada Instagram Stories tidak dapat dijalankan, melainkan anda berpindah ke beberapa platform alternatif yang lain.
Bagi pengguna Windows 10, Instagram tidak menawarkan sebarang notis berkaitan dengannya dan masih disokong seperti biasa.