Logitech pada sebelum ini sedia menawarkan papan kekunci untuk iPad dengan penawaran harga yang lebih berpatutan. Mereka telah menawarkan siri Logitech Type+ untuk iPad Air dan kini mereka telah melancarkan siri baru untuk kegunaan iPad Pro. Logitech pada hari ini telah hadir dengan siri Slim Folio Pro iaitu siri papan kekunci untuk model iPad paling berkuasa ini.
Papan kekunci ini menawarkan saiz papan kekunci seakan MacBook Pro, dengan menawarkan kedudukan butang yang hampir serupa. Ia menawarkan sejumlah butang pintas pada bahagian atas, dengan kebolehan mengawal keterangan skrin, kelantangan suara, dan butang untuk mengunci iPad ini. Ia turut dilengkapi dengan sokongan pencahayaan (backlit) secara terbina, bagi memudahkan pengguna menaip di dalam lokasi yang gelap.
Seperti aksesori Logitech yang lain, rekaan luaran papan kekunci ini membawakan binaan bergetah untuk melindungi rupa fizikal peranti. Papan kekunci ini boleh dilipat untuk menjadi mod tablet atau ‘mod komputer riba’ dengan pelarasan satu sudut. Ia juga menawarkan ruang yang terbuka pada bahagian atas, bagi membolehkan pengguna meletakkan Apple Pencil generasi kedua dengan mudah.
Berbeza dengan Smart Keyboard, papan kekunci ini disambungkan melalui sambungan Bluetooth LE berbanding penyambung (connector) yang tersedia pada peranti.
Dari segi bateri, ia menawarkan sokongan bateri secara terbina berbanding bergantung kepada bateri luaran. Seperti siri Type+, papan kekunci ini boleh dicas melalui sambungan USB-C. Untuk ketahanannya, Logitech mengatakan ia mampu bertahan sekitar 3 bulan penggunaan sekiranya anda menggunakannya dalam 2 jam sehari.
Papan kekunci ini telah ditawarkan pada harga $119.99 USD (~RM490) untuk iPad Pro 11-inci dan $129.99 USD (~RM530) untuk iPad Pro 12.9-inci. Sebagai perbandingan, Smart Keyboard daripada Apple dijual pada harga RM769 (11-inci) dan RM869 (12.9-inci).