Iklan dalam sistem operasi Android adalah satu perkara yang menjengkelkan. Ia menganggu pengalaman penggunaan sesebuah peranti. Walau bagaimanapun, sesetangah pengeluar membenarkan paparan iklan ini dimatikan dan ada juga yang perlu menggunakan VPN AdBlock.
Terkini, dalam kemaskini Android TV yang diedarkan baru-baru ini – iklan telah mula terpapar pada laman utama (home) pelancar. Lebih mengecewakan, sistem Android TV telah membuat satu bahagian khas dengan judul “Sponsored”. Iklan ini ditemui dalam televisyen pintar Android TV Sony, NVIDIA Shield TV, Mi Box 3 dan beberapa peranti Android TV lain.
Buat masa ini, tiada tetapan yang boleh dilakukan untuk mematikan paparan iklan ini. Pengguna di Reddit telah menemui jalan penyelesaian sementara, di mana pengguna Android TV perlu membuang kemaskini aplikasi sistem “Android TV Core Services”. Akan tetapi, langkah ini akan membuatkan Android TV bermasalah seketika sebelum ia kembali normal.
Perkara ini amat menjengkelkan. Harapnya, Google dapat berikan kemaskini untuk membuang iklan ini atau memberi pilihan kepada pengguna untuk menetapkan paparan iklan ini.