Berhati-Hati Dengan Penjualan Kad Memori Tiruan Di Gedung Atas Talian

Berhati-Hati Dengan Penjualan Kad Memori Tiruan Di Gedung Atas Talian

Diterbitkan pada Apr 5, 2019 oleh .

Pengguna hari ini dapat menikmati pembelian barangan yang mudah dengan adanya perkhidmatan gedung di atas talian. Pembelian dapat dibuat dengan hanya semudah menekan butang aplikasi dan web. Pengguna juga tidak perlu lagi berkunjung ke kedai fizikal, sekaligus menjimatkan masa dan wang untuk ke sana. Pembelian di gedung atas talian juga dapat menikmati sejumlah tawaran menarik, seperti diskaun dan penghantaran percuma. Ia sekaligus membuatkannya sebagai platform yang digemari pengguna apabila ingin mendapatkan penjimatan ketika berbelanja.

Namun dengan adanya gedung atas talian ini, ia juga tidak lari daripada sindiket penipuan daripada penjual. Penjualan barangan tiruan masih dilihat berleluasa sehingga hari ini, terutama barangan yang melibatkan pakaian dan perkakasan elektronik. Ia mudah dijual kerana pengguna tidak dapat melihatnya secara sendiri – sehinggalah ia diterima di tangan pengguna. Urusan pemulangan barang tiruan juga lebih suka dilakukan di atas talian, kerana ia memerlukan masa dan wang yang lebih untuk tujuan pengeposan.

Salah satu barangan elektronik yang sering menjadi sindiket penipuan ini adalah barangan berasaskan storan digital. Pada sebelum ini, kami pernah melaporkan kes penjualan pemacu USB tiruan yang giat dijual di kaki-kaki lima. Ia menawarkan storan yang cukup besar dan menariknya, ia dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding di pasaran. Bayangkan pemacu storan bersaiz 256GB, ia hanya dijual pada harga RM28 sahaja.

Dengan peningkatan penggunaan peranti pintar, kad mikroSD pula menjadi sasaran untuk meneruskan sindiket ini. Ia menggunakan teknik yang sama seperti penjualan pemacu USB, namun dalam bentuk barangan yang berbeza. Kad mikroSD dilihat lebih menguntungkan kerana pengguna lebih memerlukan barangan ini untuk kebolehan penambahan storan. Namun apabila pengguna tidak berhati-hati dengan pembelian barangan ini, akhirnya mereka menjadi mangsa kepada jualan kad memori tiruan ini.

Apa itu kad memori tiruan?

Kad memori tiruan masih lagi menawarkan fungsi seumpama kad memori sebenar, iaitu kebolehan penyimpanan fail di dalamnya. Ia digelar tiruan kerana ia sebenarnya adalah kad memori bersaiz rendah, namun telah digodam untuk menunjukkan saiz memori berbeza. Pada ketika anda memasukkan kad ini di dalam peranti, ia seolah-olah memberi pengalaman penggunaan yang sama seperti kad memori sebenar. Saiz storannya yang ditunjukkan juga adalah sama seperti apa yang dinyatakan pada kotak pembelian.

Apabila kad memori ini dihubungkan ke peranti, ia akan menyatakan storan tiruan berdasarkan jumlah storan yang diprogramkan semula oleh penggodam. Ia boleh beroperasi seperti biasa, dengan membolehkan anda meletak atau memindahkan fail daripada peranti ke storan ini. Namun apabila anda memasukkan fail yang melebihi ‘storan sebenar’ kad memori ini, ia akan terus melumpuhkan usaha ini – walaupun keluasan storan yang boleh digunakan masih banyak yang boleh digunakan.

Untuk memudahkan anda memahami cara ia berfungsi, kad memori yang dibeli mungkin adalah kad memori bersaiz 2GB. Ia kemudiannya digodam dan diprogramkan semula untuk proses pertukaran informasi storan. Penggodam boleh menukar informasi storan ini menjadi 128GB, atau apa sahaja informasi storan yang mereka inginkan. Jadi apabila ia dihubungkan ke komputer atau telefon pintar, sistem peranti tersebut akan memaparkan angka storan tiruan kerana ia telah ‘diolah’ oleh penggodam.

Secara kasarnya, kad memori tiruan ini masih menawarkan keupayaan yang serupa seperti kad memori sebenar, dengan kebolehan meletakkan fail di dalamnya. Ia juga masih menawarkan storan sebenar, cuma kad ini perlu diuji terlebih dahulu untuk mengetahui jumlah storan yang hadir. Informasi storan sebenar ini penting diketahui sekiranya anda ingin menggunakan kad mikroSD ini (secara berisiko). Apabila sesuatu fail dimasukkan melebihi capaian ‘storan sebenar’, fail yang sedia terkandung di dalam kad ini mungkin tidak lagi akan dapat dibaca atau corrupted.

Cara mengenal pasti

Bagi mengelakkan anda terkena dengan penipuan ini, anda boleh menilai beberapa perkara sebelum anda membeli sesebuah kad mikroSD. Walaupun anda tidak dapat melihatnya dengan lebih dekat, anda masih boleh menilai dari segi harga, kapasiti storan, dan kemasan kotak pembelian.

Harga

Seperti pakaian berjenama, harga jualan sesuatu barangan perlu diambil kira ketika menilai ketulenan barangan tersebut. Anda perlu mengetahui harga pasaran semasa terlebih dahulu bagi memudahkan proses penilaian ini. Anda boleh mendapatkan harga jangkaan kad mikroSD terkini dengan melihat kepada senarai harga (price list) daripada sejumlah kedai komputer ternama. Di dalam senarai ini, anda boleh melihat pada bahagian kad memori, dan menilai harganya mengikut jenama, kapasiti storan berserta kelajuannya.

Sekiranya terdapat promosi, harga kad mikroSD ini selalunya tidak dijual pada harga yang terlu murah. Promosi yang diadakan mungkin mempunyai perbezaan harga sekitar 10% hingga 40% berbanding harga asal, yang mana masih terkawal untuk sesebuah kad memori asli. Tetapi sekiranya ia terdapat perbezaan harga melebihi 70% hingga 90%, ia mungkin adalah kad memori tiruan.

Untuk memudahkan anda mendapatkan gambaran yang lebih jelas, kita ambil contoh kad mikroSD biasa dengan storan 128GB. Pada saat ini, ia dijual pada harga sekitar RM120 melalui harga yang dijual pada kebanyakan kedai komputer. Namun apabila berkunjung di sebuah kedai pada gedung jualan atas talian ini, saya menjumpai kad mikroSD ini dijual pada harga RM90 sahaja.

Sekilas pandang, kad yang dijual ini masih boleh dikatakan sebagai produk tulen kerana ia dijual pada lokasi berkos rendah. Perbezaan harganya juga hanya sekitar 25%, yang mana tidak terlalu ketara berbanding harga asal. Ini dapat dilakukan kerana kedai atas talian tidak memerlukan kos sewaan kedai yang tinggi, selain tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai seperti kedai fizikal. Tetapi sekiranya anda menjumpai kad memori 128GB yang dijual pada harga di bawah RM30, produk tersebut mungkin adalah kad memori tiruan.

Kapasiti storan yang realistik

Kad memori tiruan ini kadangkala mempunyai pilihan storan yang kurang realistik untuk dijual di pasaran. Walaupun kapasiti sesebuah storan seperti 512GB atau 1TB sudah pernah dibangunkan, namun kedai biasa kebanyakannya tidak menjual kad ini secara mudah. Harga kad memori berkapasiti tinggi ini masih dijual pada harga yang tinggi, sekaligus membuatkan kedai biasa jarang mendapatkan stok untuknya. Melainkan anda berkunjung ke kedai rasmi pengeluar kad memori tersebut, dan mampu membelinya pada harga yang tinggi.

Kemasan kotak pembelian

Selalunya gedung atas talian ini akan memaparkan paparan imej preview ketika memaparkan produk mereka. Proses penilaian ini agak sedikit sukar kerana pemilik kedai boleh meletakkan imej produk asli walaupun produk sebenarnya adalah palsu. Namun dengan adanya polisi yang ketat daripada pembangun gedung atas talian ini, pemilik kedai maya ini selalunya akan memaparkan imej sebenar produk tiruan ini – bagi ‘mengelakkan kekeliruan’ pengguna. Sekiranya pengguna tertipu dengan produk tiruan ini, pemilik kedai boleh melawan kembali dengan menyatakan produk yang dijual adalah seperti yang tertera di dalam gambar.

Untuk menilai aspek ini, anda boleh kemasan font dan grafik yang digunakan pada kotak. Kadangkala kotak tiruan ini mempunyai font dan grafik berbeza, jadi anda perlu membuat perbandingannya dengan teliti. Anda boleh mendapatkan imej kotak asli melalui kedai atas talian rasmi sesebuah pengeluar kad memori, dan bandingkan kekemasannya apabila ingin membeli produk ini.

Lihat komen terendah

Cara paling mudah untuk anda mengetahui ketulenan kad memori adalah dengan melihat komen terendah pada bahagian penilaian (rating section) produk tersebut. Biasakan diri untuk membaca maklum balas paling rendah kerana ia akan memberi gambaran mengenai proses pembelian produk tersebut. Pengguna yang tidak berpuas hati pastinya akan meletakkan penilaian ini pada tahap terendah, terutama melibatkan ketulenan produk tersebut.

Kaedah untuk menguji kad memori tiruan

Untuk menguji sama ada kad memori yang dibeli adalah produk asli atau tiruan, anda boleh mencubanya dengan meletakkan sejumlah fail yang besar. Saiz kumpulan fail yang dimasukkan perlulah melebihi 25% daripada storan yang dinyatakan. Seperti contoh, sekiranya anda membeli kad memori 128GB, anda boleh memasukkan fail melebihi 32GB untuk menguji ketulenan kad memori ini. Storan tiruan ini akan mula menunjukkan tidak ketulenannya apabila lebih 25% kapasiti digunakan daripada kapasiti storan asal.

Cara kedua yang anda boleh gunakan adalah dengan mengesahkannya melalui perisian h2testw. Perisian ini akan melalukan penulisan data secara intensif, jadi ia memerlukan masa yang sedikit lama ketika proses pengesahan dilakukan. Storan palsu ini selalu hadir dalam bentuk generic, yang mana masa penulisan datanya mengambil masa sekitar 3MB hingga 12MB per saat. Sekiranya storan dibeli menyatakan storan yang besar, ia akan memakan yang jauh lebih lama, iaitu kira-kira 10GB hingga 40GB per jam.

Muat turun: Perisian h2testw

Langkah-langkah untuk mengelakkan anda terbeli

Bagi mengelakkan anda terbeli kad memori tiruan, anda boleh mendapatkkannya terus melalui kedai yang disahkan oleh pembangun gedung atas talian sendiri. Seperti contoh di Shopee, ia akan menyatakan tanda “Pilihan” atau “Preferred” bersebelahan dengan nama kedai tersebut. Kedai ini melalui proses penilaian yang cukup ketat, yang mana dinilai dari segi kualiti barangan yang dijual dan penilaian yang diberikan oleh pengguna.

Anda juga boleh berkunjung ke halaman “mall” untuk memudahkan anda mendapatkan barangan asli. Kedai yang ditempatkan di dalam bahagian ini adalah kedai ternama, sekaligus mengelakkan anda terbeli barangan tiruan. Di Malaysia, “LazMall” dan “Shopee Mall” antara contoh bahagian di dalam gedung atas talian yang sah dan boleh dipercayai oleh pengguna.

Atau anda masih risau dengan perkhidmatan atas talian, anda juga boleh mendapatkannya terus melalui kedai fizikal. Anda boleh mendapatkannya melalui kedai komputer berhampiran atau melalui bahagian elektrik di pasaraya ternama. Tetapi ingat, jangan sesekali beli kad memori di lorong kaki-kaki lima kerana ia mungkin adalah kad memori tiruan.

Penutup

Isu ini dilihat agak membimbangkan kerana ia sangat mudah didapati oleh pengguna. Dengan hanya membuat carian kad ini di gedung atas talian, ia akan memaparkan sejumlah produk yang berkaitan dengannya – termasuk kad memori tiruan. Sesetengah pengguna cenderung untuk mencari produk dengan harga semurah yang mungkin, jadi kebarangkalian untuk sesebuah produk tiruan ini dibeli adalah amat tinggi. Ia bukan sahaja murah, malah pengguna juga ‘diperdayakan’ dengan informasi storan yang besar sebagai ‘umpan’ untuk membeli perkakasan ini.

Sekiranya anda terbeli salah satu kad memori tiruan ini, kami tidak mengesyorkan anda terus menggunakannya kerana ia cukup berisiko. Anda perlu tahu storan sebenarnya terlebih dahulu dengan mengujinya melalui perisian h2testw. Dengan adanya informasi storan sebenar ini, anda boleh menjangkakan storannya terlebih dahulu – sebelum ia ‘gagal beroperasi’ atas perletakkan fail yang lebih besar daripada storan sebenarnya. Sekiranya kad ini hanya mengandungi storan sebenar yang kecil, seharusnya anda meninggalkan terus kad tiruan ini daripada digunakan.


TIPS & ULASAN