ASUS ialah sebuah syarikat teknologi yang cukup terkenal dengan peranti-peranti gaming mereka, termasuklah komponen, komputer, laptop paparan skrin, aksesori komputer dan sebagainya.
Terkini, mereka telah melancarkan tiga buah monitor gaming baru, semuanya dilengkapi dengan sokongan untuk teknologi paparan NVIDIA GSYNC yang digunakan untuk mengurangkan isu seperti screen tearing, dan memperbaiki lagi mutu grafik yang ditunjukkan pada paparan.
Tiga paparan ini termasuklah ASUS VG278QR, ASUS VG258QR dan ASUS VG248QR. Ketiga-tiga paparan skrin ini hadir dengan saiz 27 inci, 24.5 inci dan juga 24 inci yang mempunyai resolusi 1920×1080 dengan kadar segar semula 165Hz dan juga sela-masa serendah 0.5ms.
Jenis paparan yang digunakan untuk ketiga-tiga paparan ini pula ialah panel TN, yang hadir dengan kadar silauan paling rendah diantara kebanyakan panel yang hadir di pasaran sekarang.
Dari segi I/O, ia dilengkapi dengan satu palam DisplayPort 1.2, satu palam HDMI 1.4, satu palam DVI-D dan satu palam audio 3.5mm. Ciri-ciri lain termasuklah tetapan ASUS GameVisual yang membolehkan pengguna untuk menukar tetapan skrin dengan mudah dan cepat, bergantung kepada penggunaan, manakala ASUS Extreme Low Motion Blur pula mengurangkan isu kelipan pada skrin.
Tarikh pelancaran dan tanda harga untuk paparan-paparan ini belum diumumkan lagi, tetapi besar kemungkinan ia akan dilancarkan tidak lama lagi.