Cari @ Amanz

Fungsi AirPlay dilihat sangat berguna dalam membolehkan pengguna menghantar kandungan daripada peranti Apple ke paparan yang menyokong protokol AirPlay. Ia membolehkan pengguna menonton video daripada Youtube atau melihat gambar daripada Photos terus ke kaca televisyen anda. Namun pada hari ini, Netflix telah menghentikan sokongan AirPlay ini pada aplikasi iPhone, iPad dan iPod touch.

Perkara ini disahkan apabila Netflix mengumumkan penamatan ini melalui dokumen yang berada pada laman web mereka. Netflix mengatakan ia berlaku kerana “limitasi teknikal”, namun tidak menyatakan alasan ini dengan lebih lanjut.

Sejumlah pengguna juga telah melaporkan bahawa mereka tidak dapat menggunakan fungsi sejak pada beberapa hari lepas. Fungsi AirPlay ini masih boleh diaktifkan daripada Control Center, namun apabila pengguna ingin memainkan kandungan aplikasi Netflix, ia akan memaparkan sebuah notis berkaitan dengan isu ini.

Perkara ini berlaku mungkin di atas persaingan di antara Netflix dan Apple sendiri – lebih-lebih lagi selepas perkhidmatan Apple TV+ diumumkan pada Mac lalu. Bermula Disember 2018, Netflix dilihat telah mula menghentikan pendaftaran akaun Netflix daripada aplikasi mereka di iOS. Perkara ini juga menyebabkan mereka tidak membangunkan aplikasi untuknya pada Apple TV setakat ini.

Namun bagi pengguna yang tidak menggunakan fungsi AirPlay, kandungan daripada Netflix masih boleh ditonton seperti biasa pada peranti iOS. Cuma untuk tontonan di skrin besar, ia masih dapat dilakukan melalui sejumlah perkhidmatan yang lain, seperti Chromecast atau aplikasi Netflix yang terbina pada televisyen.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd