Cari @ Amanz

Menjumpai kamera di dalam tempat penginapan adalah suatu mimpi ngeri kerana ia mengancam privasi. Apa yang membimbangkan, data berkaitan dengannya boleh disalah guna, bagi tujuan yang tidak bermoral atau perkara-perkara yang mengancam keselamatan. Ia telah berlaku pada sebuah keluarga di New Zealand, apabila mereka menjumpai kamera tersembunyi di salah sebuah penginapan Airbnb.

Ia dijumpai sendiri oleh ketua keluarga tersebut iaitu Andrew Barker, yang berkerja di dalam industri keselamatan IT. Beliau menyedari kehadiran kamera tersebut ketika ingin menyambungkan peranti ke WiFi. Beliau terlihat sebuah SSID di dalam hasil carian WiFi – yang mana merupakan sebuah kamera litar tertutup.

Apa yang lebih membimbangkan, kamera ini ditempatkan pada alat seumpama pengesan asap biasa, yang mana sering diletakkan di bahagian atas rumah. Ia boleh mengesan segala pergerakan yang berlaku, sekaligus melanggar hak privasi seseorang pengguna.

Beliau kemudiannya memasuki sambungan kamera tersebut dan mengakses pautan khas untuk meneliti maklumat yang dirakam. Apabila pautan ini diakses, ia memaparkan senarai video yang telah diambil pada tempoh masa tertentu. Sebagai percubaan, beliau dan ahli keluarga lain berada di hadapan kamera tersebut untuk menjadikannya sebagai gambar bukti.

Perkara ini telah membuatkan pihak Airbnb memandang serius berkaitan dengan isu privasi ini. Mereka telah membuang senarai tempahan yang berkaitan dengan rumah ini dan membatalkan terus akaun tuan rumah tersebut. Pihak Airbnb juga akan memulangkan wang kembali kepada pengguna sekiranya ada bukti yang kukuh berkaitan dengan isu ini.

Jadi bagi anda yang sering berada di lokasi percutian, anda dinasihatkan untuk mengesan tempat penginapan anda terlebih dahulu – tidak kira apa jua perkhidmatan yang digunakan. Sekiranya anda mendapati ada kamera yang terpasang secara tersembunyi, laporkannya secara serta-merta bagi mengelakkannya mengancam keselamatan dan hak privasi pengguna yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd