Windows 10 Mengubah Cara Pengendalian Storan USB – Data Lebih Selamat Walaupun Storan Dikeluarkan Secara Tidak Sengaja

Windows 10 Mengubah Cara Pengendalian Storan USB – Data Lebih Selamat Walaupun Storan Dikeluarkan Secara Tidak Sengaja

Diterbitkan pada Apr 7, 2019 oleh .

Pengguna Windows kebanyakannya sudah pun mengetahui cara mengeluarkan pemacu USB daripada komputer. Namun ada beberapa ketika, pengguna terlupa mengikuti langkah yang sepatutnya dan akhirnya mengakibatkan sejumlah kerosakan data. Namun perkara ini mungkin berubah apabila Microsoft mengubah cara pengendalian storan USB pada kemaskini terbaru Windows 10.

Microsoft dilihat telah memperkenalkan polisi baru yang dinamakan sebagai “Quick Removal” pada tetapan storan USB ini. Ia merupakan polisi alternatif kepada tetapan “Better Performance” yang telah digunakan pada Windows sebelum ini. Kedua-dua tetapan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, jadi pengguna boleh mengubahnya mengikut keselesaan.

Tetapan “Better Performance” ini membolehkan Windows mengawal penghantaran data dan operasi storan, sekaligus meningkatkan kelancaran storan ini beroperasi. Perkara ini termasuk dari segi perlaksanaan data caching, yang sering digunakan ketika proses penghantaran, pembukaan, atau persediaan sesuatu fail.

Bagi tetapan “Quick Removal”, ia tidak lagi menawarkan proses data caching, sekaligus membuatkan proses pengendalian sedikit lambat. Namun kebaikannya, storan USB kini boleh dikeluarkan dengan lebih selamat, walaupun tidak mengikuti proses “Safely Remove Hardware”.

Tetapi bagi anda yang ingin kembali ke tetapan “Better Performance”, anda boleh menuju ke File Explorer dan lihat label pemacu USB (seperti D: atau E:).

Kemudian, klik kanan pada butang Start > buka Disk Management > klik kanan pada label storan pilihan > dan pada klik Properties. Pada tetingkap Policies, klik pada “Better Performance” untuk mengubah tetapan ini.

Jadi bagi anda yang risau dengan kerosakan data ketika pemacu USB dikeluarkan secara tidak sengaja, anda boleh kekal dengan tetapan “Quick Removal” ini. Ia telah diaktifkan secara serta-merta pada kemaskini terbaru Windows 10 versi 1809, jadi anda tidak perlu mengubah sebarang perkara. Tetapan ini dilihat lebih baik digunakan kerana ia selamat dan mampu melindungi data dengan lebih sempurna.


TIPS & ULASAN