Cari @ Amanz

Redmi Note 7
Skrin 6.3” IPS LCD
2340 x 1080, 409 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x Kryo 260 2.2 GHz
4 x Kryo 260 1.8 GHz
GPU Adreno 512
Memori 4GB RAM
Storan 64GB + slot mikroSD
Kamera Utama 48MP f/1.8 + 5MP
1080p@30fps
Kamera Hadapan 13MP f/2.2, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Sistem Android 9.0 Pie (MIUI 10)
Bateri 4000 mAh, Quick Charge 4.0
Dimensi 159.2 x 75.2 x 8.1 mm
Berat & Ketebalan 186g, 8.1 mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

Siri Redmi Note telah melalui pelbagai fasa perubahan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2014. Siri ini pada mulanya dikenali dengan penawaran skrin bersaiz besar, kemudiannya menjadi siri peranti kelas pertengahan yang popular. Siri ini bukan sahaja memberi paparan yang memuaskan kepada pengguna, namun menyajikan cip pemprosesan yang lancar dan ketahanan bateri yang lama. Ketiga-tiga aspek ini masih diberi penekanan oleh pihak Xiaomi dalam memasarkan siri Redmi Note ini.

Pada setiap tahun, Xiaomi juga telah menambahbaik beberapa perkara pada siri ini, terutama dari segi rekaan. Ia pada mulanya dibina berasaskan plastik dan logam, sehinggalah ia hadir dalam binaan berasaskan kaca. Begitu juga dari segi paparannya, skrin tidak lagi hadir dengan bingkai tebal, tetapi sebaliknya hadir dengan skrin penuh bermula model Redmi Note 5. Keupayaan kameranya juga telah dinaiktaraf – daripada satu hinggalah ke sokongan dwi-kamera – dalam menyajikan kualiti penggambaran seumpama peranti yang lebih mahal.

Peranti Redmi Note 7 adalah peranti generasi ketujuh bagi siri ini dengan sejumlah penawaran fungsi moden. Model ini juga merupakan model awal yang membawakan jenama Redmi sahaja – tanpa lagi penjenamaan daripada Xiaomi. Redmi ingin berdiri sebagai sebuah identiti baru, dengan menampilkan rekaan peranti yang bergaya, spesifikasi yang berkuasa, dan menawarkan harga yang berpatutan untuk pengguna.

Redmi Note 7 ini dilihat membawa sejumlah perubahan dari segi binaan, prestasi, dan keupayaan kamernya. Harga yang ditawarkan juga masih rendah, sekaligus memberi persaingan yang hebat kepada pencabarnya. Spesifikasi yang didatangkan cukup berpontesi, namun adakah ia benar-benar memberi nilai yang hebat dari segi fungsinya?

Rekabentuk

Sebelum kita bercakap mengenai rekaannya, Redmi Note 7 hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Qualcomm Snapdragon 660, pilihan memori 3GB/4GB RAM, dan storan dalaman sebesar 64GB berserta sokongan kad mikroSD. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, sokongan IR blaster, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

Rekaan Redmi Note 7 telah hadir dengan perubahan dari segi bentuk dan bahan binaan yang digunakan. Binaan belakangnya lebih mendatar dan hadir dengan binaan berasaskan kaca. Sekilas pandang, ia dilihat menyerupai rekaan Xiaomi Mi 8 Lite, cuma rekaannya sedikit tebal dan berat atas kehadiran kapasiti 4000 mAh. Binaan kameranya dilihat sedikit terkeluar, sekaligus memberi perletakkan yang kurang sempurna apabila ia berada di atas meja.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim ditempatkan pada bahagian kiri. Slot dwi-sim ini menawarkan slot hibrid, dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim kedua. Di bahagian atas peranti, ia masih mengekalkan sambungan bicu audio, bersama fungsi IR blaster untuk mengawal perkakasan elektrik. Di bahagian bawahnya pula, ia menempatkan sambungan USB-C bersebelahan dengan pembesar suara berasaskan mono.

Prestasi pengimbas cap jarinya dilihat sangat baik, yang mana dapat membuka peranti dengan sangat pantas. Begitu juga dari segi imbasan wajahnya, ia dapat bertindak balas dengan lancar apabila digunakan pada pencahayaan yang terang. Namun apabila tiba pada waktu gelap, paparan akan diterangkan terlebih dahulu sebelum proses imbasan wajah dapat dibuat. Ia membuatkan proses imbasan ini sedikit memakan masa, namun boleh diatasi dengan mengimbas cap jari anda.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan skrin IPS LCD sebesar 6.3-inci, dengan penawaran resolusi Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Kualiti paparan ini dilihat baik untuk harian, selain dapat memberi darjah pandangan skrin yang luas apabila dilihat dari sudut berlainan. Rekaan takuknya dilihat lebih kecil berbanding Redmi Note 6 Pro, melalui rekaan takuk titisan air. Menariknya, paparan di hadapan ini dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 5, bagi mengurangkan kesan calar dan hentakan.

Dari segi variasi, Redmi Note 7 hadir dalam tiga variasi iaitu 3GB RAM + 64GB, 4GB RAM + 64GB, dan 4GB RAM + 128GB. Sekiranya anda pengguna kasual, storan dalaman 64GB ini dilihat memadai dengan penggunaan anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda memanfaatkan fungsi salinan gambar daripada Google Photos. Tetapi sekiranya storan ini tidak mencukupi untuk anda, anda masih boleh memanfaatkan kad mikroSD sehingga 256GB. Di Malaysia, Redmi Note 7 telah ditawarkan dalam tiga pilihan warna menerusi pilihan warna Space Black, Neptune Blue, dan Nebula Red.

Sistem

Dari segi antaramuka, Redmi Note 7 menjalankan MIUI 10 yang dibina berasaskan Android 9.0 Pie. Ia dilihat membawa tampilan yang lebih kemas berbanding sebelumnya, dengan penyertaan sejumlah elemen seumpama Android P. Ikon pada talam notifikasi dibina dengan ikon membulat, selain membolehkan pengguna menggerakan slider untuk mengawal keterangan skrin. Paparan pertukaran aplikasi pula dilihat hadir dengan rekaan tersendiri, dengan menyajikan 4 paparan aplikasi yang sedang berjalan.

Tampilan aplikasi terbina juga dilihat telah ditambahbaik, terutama apabila dilihat pada aplikasi Weather, Security, dan Calendar. Ia kelihatan sungguh menarik, melalui sejumlah pilihan warna dan penggunaan font moden. Seperti MIUI 9, MIUI 10 turut menawarkan fungsi gesture bagi membolehkan pengguna mengawal peranti seumpama iPhone X. Fungsi ini hanya ditawarkan sebagai pilihan, dan boleh diaktifkan secara manual melalui halaman settings.

MIUI 10 turut menawarkan beberapa fungsi menarik yang lain seperti kebolehan Dual Apps. Menariknya, fungsi Dual Apps ini tidak dihadkan kepada aplikasi permesejan sahaja, malah kesemua aplikasi yang dipasang pada peranti. Ia juga menawarkan fungsi Second Space yang membolehkan pengguna mengasingkan bahagian peribadi dan urusan kerja. Namun begitu, MIUI 10 dilihat penuh dengan iklan yang tersembunyi, terutama ketika membuka aplikasi Security, File Manager, dan aplikasi Music. Kami sebelum ini pernah melakukan tutorial melalui video bagi mematikan fungsi iklan pada peranti Xiaomi.

Prestasi

Redmi Note 7 dijana dengan cip yang sama seperti Xiaomi Mi 8 Lite, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 660 bersama pilihan memori 3GB atau 4GB RAM. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 260 2.2 GHz (teras berkuasa) dan 4 x Kryo 260 1.8 GHz (teras efisien), selain dijana dengan GPU Adreno 512. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, ia berjaya mencatatkan mata sekitar 143,589 – berbeza dengan Redmi Note 5 yang mencatatkan mata sekitar 115,971. Untuk perbandingan dengan cip yang lain, cip Snapdragon 660 ini setara dengan cip kelas pertengahan yang lain iaitu MediaTek Helio P60 dan HiSilicon Kirin 710.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu memberi prestasi harian yang pantas, bersama pengalaman pertukaran aplikasi yang cukup memuaskan. Untuk prestasi permainan, permainan seperti PUBG Mobile boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan grafik sederhana, namun permainan seperti Standoff 2 dan Guns of Boom boleh dimainkan pada tetapan grafik tinggi. Menariknya, haba yang dikeluarkan sangat minima, walaupun anda menggunakan peranti ini untuk kegunaan permainan yang agak lama.

Kamera

Dari segi kameranya pula, Redmi Note 7 telah dinyatakan membawa sensor utama 48MP f/1.8, bersama sensor kedua 5MP untuk kebolehan Portrait Mode. Namun begitu, sensor 48MP ini sebenarnya menggunakan teknik pixel binning untuk membolehkan hasilan gambar menjadi lebih terang dan menarik. Ia tidak menawarkan fungsi penstabilan imej OIS, namun masih menyajikan fungsi EIS dalam mengurangkan gegaran ketika membuat rakaman video. Ia juga dilengkapi dengan LED flash bersama pencahayaan satu-tona warna untuk menerangi penggambaran malam.

Untuk kualitinya, ia membawa peningkatan yang lebih baik berbanding Redmi Note 5, dengan memberi penggambaran yang lebih tajam. Ketika waktu malam, ia juga kurang menghasilkan kesan hingar (noise), selain mampu menghasilkan gambar yang terang pada situasi pencahayaan rendah ini. Ia juga memberi kawalan exposure yang lebih seimbang, walaupun berdepan dengan pencahayaan yang sedikit ekstrem.

Apa yang menarik, Redmi Note 7 turut dilengkapi dengan fungsi Night Mode bagi membolehkan pengguna mendapatkan penggambaran malam yang lebih menyerlah. Ia menggunakan teknik slow shutter 4 saat, yang mana dapat distabilkan melalui fungsi AI. Bermakna, anda boleh menggunakan fungsi ini dengan hanya memegang peranti, tanpa perlu meletakkannya di atas tripod.

Kamera hadapannya masih dikekalkan kepada sensor 13MP seperti yang terdapat pada Redmi Note 5. Hasilannya dilihat sangat baik, dengan memberi kualiti yang tajam bersama perwarnaan yang menyerlah. Apabila menggunakan fungsi Portrait Mode, kesan kaburnya juga kelihatan kemas apabila membuat kesan kabur pada bahagian sisi subjek.

Dari segi fungsi, Redmi Note 7 hanya dihadkan untuk membuat rakaman 1080p@30fps, namun boleh ditingkatkan kepada resolusi 4K melalui aplikasi Open Camera. Beberapa fungsi lain turut tersedia pada aplikasi kamera ini seperti Panorama, Tilt-Shift, Straighten, Beautify, dan Grouped Selfie. Untuk keupayaan manual, ia membolehkan pengguna mengawal white balance, fokus, shutter speed, ISO, dan menukar ke mod penggambaran 48MP.

Bateri

Redmi Note 7 masih menawarkan kapasiti bateri yang besar seperti sebelum ini, dengan penawaran kapasiti 4000 mAh. Dengan penggunaan cip 14nm melalui cip Snapdragon 660 ini, ia dilihat mampu memberi bacaan bateri sepanjang hari walaupun digunakan secara intensif. Peranti ini juga mampu bertahan sekitar dua hari sekiranya ia digunakan secara minima.

Dengan kapasiti 4000 mAh dan padanan cip 14nm ini, Redmi Note 7 mampu menawarkan masa Screen-on-Time (SoT) yang cukup baik, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 39 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Dari segi masa pengecasannya, Redmi hanya membekalkan pengecas 10W secara tersedia, dengan masa pengecasan peranti sekitar 2 jam 3 minit. Sekiranya anda ingin mengurangkan masa pengecasan peranti, Redmi Note 7 menyokong pengecas Quick Charge 4.0 yang mana perlu dibeli secara berasingan.

Rumusan

Redmi Note 7 meneruskan asprasi yang dibawa oleh siri Redmi Note sebelum ini, melalui rekaan skrin besar, prestasi yang lancar, dan ketahanan bateri yang lama. Namun pada model kali ini, ia bukan sahaja menawarkan ketiga-tiga aspek ini dengan baik, malah turut membawa peningkatan dari segi binaan dan keupayaan kamera yang menawan. Malah, ia juga telah menyertakan sejumlah fungsi moden pada hari ini, seperti rekaan takuk seumpama titisan air dan sambungan berasaskan USB-C.

Namun sebelum anda membeli peranti ini, perlu diingatkan bahawa MIUI 10 menempatkan sejumlah iklan, yang mana masih boleh dibuang secara manual. Walaupun hadir dengan fungsi pengecasan pantas, peranti ini hanya dibekalkan dengan pengecas 10W yang sedikit perlahan. Slot dwi-simnya juga hadir dengan rekaan hibrid, sekaligus anda tidak boleh menggunakan dwi-sim dan kad mikroSD ini secara serentak. Satu lagi kelemahannya ialah rekaan kamera belakangnya sangat tersembul keluar, sekaligus memerlukan aksesori peranti yang tebal untuk melindungi kamera peranti ini.

Pro
  • Hadir dengan binaan kaca yang premium.
  • Mempunyai kualiti skrin yang tajam melalui resolusi Full HD+.
  • Memberi prestasi yang lancar untuk kegunaan harian dan permainan.
  • Keupayaan kamera yang sangat memuaskan untuk harian.
  • Menyokong penstabilan imej EIS untuk rakaman video di hadapan dan di belakang.
  • Memberi ketahanan bateri yang lama dengan bacaan SoT 6 jam 39 minit.
  • Menyokong fungsi pengecasan pantas Quick Charge 4.0.
  • Mengekalkan sambungan audio 3.5mm.
  • Menawarkan sambungan WiFi 5GHz.
  • Hadir dengan slot dwi-sim dengan sokongan kad mikroSD.
  • Menawarkan fungsi IR blaster untuk kawalan perkakasan elektrik.
  • Menyokong Widevine L1
Kontra
  • Sejumlah kecil bahagian MIUI 10 dipenuhi dengan iklan.
  • Hanya dibekalkan dengan pengecas 10W.
  • Slot dwi-sim berasaskan hibrid.
  • Rekaan kamera agak sedikit tersembul keluar.

Redmi Note 7 telah ditawarkan menerusi tiga variasi iaitu pada harga RM679 (3GB/32GB), RM799 (4GB/64GB), dan RM999 (4GB/128GB). Dengan harga ini, Redmi Note 7 cukup berbaloi untuk harganya kerana ia mempunyai fungsi yang sangat seimbang. Rekaannya menawan, hadir dengan cip yang pantas, selain mempunyai kapasiti bateri yang besar. Ia juga menyajikan fungsi yang lengkap, seperti keupayaan dwi-kamera yang menawaan, sokongan IR blaster, dan penyertaan USB-C. Jadi bagi anda yang sedang mencari peranti yang hebat pada harga bermula RM679, inilah antara peranti yang sangat disyorkan untuk anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd