Cari @ Amanz

Surface Pro adalah siri tablet Windows berkuasa daripada Microsoft. Ia dicipta kerana ingin menggantikan komputer riba dengan tablet, oleh kerana itu Surface Pro mempunyai spesifikasi hebat seakan sebuah komputer riba ultrabook berkuasa. Tidak lupa juga, Surface Pro adalah dalam kategori produk premium seakan Apple dengan MacBook Air atau iPad Pro.

Artikel ini adalah artikel ulasan yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan ulasan komputer riba lain. Ini kerana, ulasan saya adalah pengalaman penggunaan Surface Pro 6 ini tanpa sebarang aksesori. Secara harafiah, saya gunakan Surface Pro 6 ini sebagai sebuah tablet.

Spesifikasi

Microsoft Surface Pro 6
Skrin 12.3 Inci PixelSense Display
Pemproses Intel Core i5-8250U
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman SSD 128GB
Kamera 8MP + 5MP untuk Skype
USB USB 3.0 Type=A x4, USB 3.1 Type-C x1
Paparan Mini DisplayPort
Pembaca Kad Pembaca kad mikroSD
Kad Grafik Intel UHD Graphics 620
Harga Jualan RM4,399

Surface Pro 6 menggunakan skrin 12.3-inci, panel PixelSense Display dengan resolusi 2736 x 1824 (267 PPI) dan skrin bernisbah 3:2. Skrin Surface sudah lama terkenal dengan panel PixelSense ini. Skrin ini mempunyai warna yang menarik, tajam, jelas serta kecerahan yang memuaskan. Kecerahan skrin ini pula sesuai jika digunakan di bawah cahaya matahari.

Menggunakan Surface Pro ketika menonton video seperti YouTube pada resolusi maksima, menstrim kandungan Netflix yang HD penuh juga tiada masalah. Seronok menggunakan tablet ini sebagai paparan untuk media dan hiburan. Tetapan skrin dalam sistem pula mempunyai dua pilihan, sRGB atau Enhanced. Di mana Enhanced akan tawarkan hasil warna yang lebih tajam dan lebih terang dan sRGB pula adalah terbaik yang mencukupi untuk kegunaan harian seseorang.

Skrin Surface Pro 6 turut mempunyai Night light yang baik. Di mana jika menggunakan fungsi ini, skrin akan menjadi kekuningan untuk elak mata pengguna sakit dan sesuai digunakan dalam keadaan kurang cahaya atau waktu malam. Satu sahaja masalah pada skrin Surface Pro 6 adalah, ia mempunyai bingkai yang sangat tebal dan secara tidak langsung menjadikan tablet ini kelihatan tidak seksi.

Cip yang menguasakan tablet ini pula adalah Intel Core 8th Gen i5-8250U yang dipadankan dengan RAM 8GB dan storan dalaman SSD 128GB. Akan tetapi, pengguna turut mempunyai pilihan untuk membeli variasi 16GB RAM dan storan SSD sehingga 1TB. Cip ini agak berkuasa dan cukup memuaskan untuk menjalankan Google Chrome dengan tab yang banyak, menggunakan Photoshop, Adobe Premiere untuk kerja-kerja suntingan dan juga bermain permainan video yang ringan. Surface Pro 6 tidak boleh digunakan untuk bermain permainan grafik tinggi kerana ia hanya mempunyai kad grafik terbina Intel UHD Graphics 620.

Selain itu, Surface Pro 6 mempunyai port USB-A 3.0 saiz penuh, port bicu audio 3.5mm, Mini DisplayPort, port magnetik Surface Connect untuk pengecasan, port magnetik Surface Type Cover untuk aksesori papan kekunci, slot kad mikroSD dan juga skrin yang menyokong penggunaan Surface Dial. Untuk sekuriti, Microsoft sistem imbasan wajah menggunakan kamera swafoto bersama-sama dengan sensor cahaya ambient. Tetapan imbasan wajah ini pula adalah menggunakan Windows Hello dan turut dipadankan pula dengan cip TPM 2.0.

Surface Pro 6 turut mempunyai kamera, di mana kamera utama adalah 8MP dengan autofkus yang boleh merakam video HD penuh 1080p. Kamera swafoto pula adalah 5MP dengan sokongan video HD penuh 1080p yang dioptimasikan untuk Skype. Untuk mengambil gambar, saya cadangkan jangan – ini kerana hasilnya sangat teruk dan penuh dengan hingar.

Pengalaman Penggunaan

Semestinya prestasi Surface Pro 6 ini amat menakjubkan. Saya gunakan peranti ini sebagai tablet, tanpa sebarang aksesori papan kekunci seperti Surface Type Cover atau papan kekunci nirwayar. Saya gunakan papan kekunci biasa yang disambung melalui port USB-A, kemudian untuk navigasi saya gunakan kawalan sesentuh. Ini agak menjengkelkan, tetapi saya cuba jadikan ia satu cabaran. Kerana, Surface Pro 6 adalah tablet – ia hanya menjadi hibrid komputer riba dengan Surface Type Cover, akan tetapi aksesori ini dijual berasingan dan tidak disertakan bersama-sama.

Saya banyak gunakan pelayar web Google Chrome dengan banyak tab dibuka. Kemudian, saya gunakan Firefox untuk menaip artikel-artikel dan percaya atau tidak, saya berjaya menjalankan Photoshop pada tablet ini. Agak sukar sebenarnya menggunakan Photoshop dengan kawalan sentuhan. Jika ada pad sesentuh, itu cukup baik – tetapi kawalan sentuh pada skrin, itu satu cabaran yang agak tidak masuk akal.

Saya tidak mempunyai kenalan yang menggunakan Skype, tetapi saya cuba membuat rakaman video dan berikut adalah rakaman skrin yang diambil. Kualitinya agak baik untuk sebuah tablet Windows, tetapi ia hanya lebih baik untuk Skype. Kamera swafoto saya hanya gunakan untuk nyahkunci sahaja dan ia agak pantas.

Jangka hayat bateri menurut Microsoft, ia boleh bertahan selama 13.5 jam. Tetapi atas percubaan saya, ia hanya mampu tahan sekitar 11 jam maksima jika menggunakan sebagai alat menonton Netflix luar talian. Manakala apabila sentiasa berhubung pada Internet, ia mampu bertahan selama 9-10 jam tanpa masalah. Masa pengecasan tidak begitu pantas, ia mengambil masa lebih 2 jam untuk selesai.

Surface Pro 6 turut mempunyai pembesar suara stereo. Di mana ia menggunakan driver 1.6W yang dikuasakan oleh Dolby Audio Premium. Hasil audio yang agak mengagumkan dan sungguh menarik. Mendengar lagu di Spotify dan menonton Netflix menggunakan pembesar suara tablet ini sunggu mengasyikkan.

Gunakan sebagai tablet, memang tiada masalah. Saiz nipis dan mudah sahaja dibawa ke mana-mana sahaja. Masalah panas kadangkala berlaku apabila terlampau banyak tab Chrome yang dibuka dan terlampau lama ia dibiar terbuka. Tongkat boleh laras yang terbina pada Surface Pro 6 ini adalah yang terbaik. Tidak ada di pasaran sebuah tablet dengan tongkat seperti ini. Ia boleh dilaras pada pelbagai sudut dan tidak kira ketika baring, duduk atau apa jua posisi – Surface Pro 6 memang mudah digunakan.

Perkara Yang Mengecewakan

Tidak semua gajet dalam dunia ini adalah sempurna, tetapi ada sahaja yang hampir capai tahap sempurna. Walau bagaimanapun, pada mata sesetengah pengguna – pasti ada yang kurang. Surface Pro 6 pada saya banyak perkara yang mengecewakan. Paling utama adalah, kekurangan port USB Type-C. Tidak kiralah untuk pengecasan, sambungan paparan atau untuk pemindahan data – asal ia mempunyai satu port USB-C sudah mencukupi. Bayangkan, tablet kelas pertengahannya Surface Go mempunyai USB-C. Tablet mercu seperti ini, tidak.

Seterusnya adalah, kekurangan port sambungan. Surface Pro 6 hanya mempunyai 1 port USB-A dan itu sahajalah port untuk pelbagai perkara. Jika tiada USB-C, pendapat saya sekurang-kurangnya letaklah dua port USB-A. Kekurangan port seperti ini menyukarkan saya untuk melakukan tugasan harian.

Kemudian, tiada pengecasan pantas adalah salah satu perkara yang menjadikan tablet ini tidak menarik. Pengecasan yang mengambil masa lebih 2 jam adalah satu perkara yang tidak saya gemari. Ini adalah tablet, dan ia direka untuk dibawa ke mana-mana sahaja – ajdi pengecsan pantas adalah wajib. Akan tetapi, sambungan pengecas melalui Surface Connect yang berasaskan magnetik – itu agak baik.

Windows 10 pula tidak banyak aplikasi Windows (bukan dari Windows Store) yang menyokong kawalan skrin sesentuh. Saya cuba gunakan Chrome dan Firefox untuk menaip artikel di Amanz, papan keunci atas skrin tidak responsif. Kadangkala ia terpapar tetapi tidak boleh digunakan dan kadangkala langsung tiada papan kekunci terpapar. Aplikasi-aplikasi dari Windows Store tiada masalah, kerana ia memang dibina untuk sokongan skrin sesentuh.

Akhir sekali, walaupun Surface Pro 6 menggunakan storan jenis SSD – ia tidak sepantas ultrabook lain. Pada saya, ia agak perlahan. Saya gunakan CrystalDiskMark untuk ujian kepantasan baca/tulis SSD. Surface Pro 6 hanya mampu membaca pada tahap 1546.2 MB/s dan tulis pada 251.5 MB/s sahaja maksima.

Kesimpulan

Jika Surface Pro 6 dibeli dan terus digunakan sebagai sebuah tablet, ia adalah satu keputusan yang mengarut. Untuk pengalaman penggunaan tablet yang sebenar, iPad adalah pilihan bijak dan terbaik. Antara sebab Surface Pro 6 tidak sesuai dijadikan tablet adalah, penggunaan jangka masa panjang – ia agak berat dan akan memenatkan tangan. Pada sesetengah orang jisimnya sudah mencukupi, saya pula gemar menggunakan tongkat terbina – jadi jisim tiada masalah.

Kemudian, Surface Pro 6 ini pada saya ia hanya berkuasa jika dipadankan dengan aksesori-aksesori Surface sendiri. Contohnya, Surface Type Cover, Surface Pen atau juga Surface Mouse. Surface Pro 6 terlampau bergantung aksesori mereka sendiri, jika tidak – ia mungkin boleh jadi sebuah tablet yang baik.

Tidak lupa juga, Microsoft menjual Surface Pro 6 pada harga permulaan RM4,399. Surface Type Cover pula dijual pada harga RM473 dan jika ingin jimat,  mereka turut tawarkan jualan dalam bentuk berkas pada harga RM5,531 bersama-sama dengan Surface Pen, Type Cover dan Microsoft Office. Tidak dinafikan, ia agak mahal. Tetapi kena ingat, sasaran Microsoft adalah sebagai pesaing kepada Apple – di mana ia adalah produk premium. Jika dibandingkan dengan Apple iPad Pro (2018), 64GB dijual pada harga RM3,499. Pada saya ia adalah lebih berbaloi dan masih ada baki untuk membeli aksesori Apple.

Jadi, jika anda ingin beli sebuah tablet berkuasa. Microsoft Surface Pro 6 bukanlah pilihan bijak.

Kelebihan Kekurangan
  • Paparan terbaik, skrin cukup terang, warna yang tajam dan memuaskan.
  • Jangka hayat bateri yang menakjubkan.
  • Rekaan premium dan bahan binaan yang premium.
  • Sistem imbasan wajah yang pantas untuk nyahkunci.
  • Windows 10 yang cukup pantas dan skrin sesentuh yang hebat.
  • Skrin mempunyai rekaan bingkai sangat tebal.
  • Tiada pengecasan pantas dan masa pengecasan yang sangat perlahan.
  • Kekurangan port sambungan penting seperti USB-C dan USB-A tambahan.
  • Windows Hello tidak berfungsi jika dalam keadaan gelap.
  • Aplikasi yang terhad untuk kawalan sesentuh.
  • Harga jualan yang mahal.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd