Cari @ Amanz

Pengimbas Cap Jari Samsung Galaxy S10 Boleh Dipintas Menggunakan Cap Jari Cetakan 3D

Link Copied!

Penggunaan sistem biometri sepatutnya menyukarkan kandungan peranti dari diakses oleh pengguna lain. Antara sistem yang paling popular digunakan ialah pengimbas cap jari yang kini sudah boleh ditemui pada peranti kelas permulaan. Menerusi Galaxy S10+ dan S10, Samsung memperkenalkan sistem imbasan cap jari ultrasonik terbina dalam skrin yang sepatutnya lebih sukar dipintas.

Tetapi menurut darshark, seorang pengguna IMGUR, sistem imbasan cap jari ultrasonik Galaxy S10 masih belum sempurna dan boleh dipintas. Imej cap jari diambil menggunakan sebuah kamera dari permukaan gelas. Dengan menggunakan Photoshop beliau kemudian menghasilkan templat untuk cap jari palsu menggunakan mesin cetakan 3D.

Beliau melakukan percubaan sebanyak tiga kali sebelum sistem imbasan cap jari sebuah Galaxy S10 berjaya dipintas oleh cap jari palsu tersebut. Ini membuktikan sistem imbasan cap jari ultrasonik ini masih belum berjaya 100% menjamin keselamatan peranti.

Malah boleh dikatakan masih belum ada sistem biometri yang tidak boleh dipintas. Sebelum ini sistem imbasan anak mata dan wajah Galaxy S8 berjaya dipintas. Perkara yang sama turut berlaku pada imbasan wajah OnePlus 6. Malahan sistem FaceID pada iPhone juga boleh dipintas oleh anak atau menggunakan topeng yang dihasilkan oleh mesin cetakan 3D.


Komen ()