Cari @ Amanz

Perkhidmatan Bas RapidKL Akan Beralih Ke Pembayaran Nirtunai Sepenuhnya Bermula 15 April

Link Copied!

Perkhidmatan bas RapidKL antara salah satu medium pengangkutan awam yang popular di Kuala Lumpur. Pada saat ini, ia mempunyai dua mod pembayaran, iaitu melalui tunai atau melalui pembayaran nirtunai. Namun bermula 15 April ini, perkhidmatan bas ini akan mula beralih ke pembayaran nirtunai secara sepenuhnya.

Perlaksanaan ini memerlukan pembayaran dibuat melalui kad Touch N’ Go, kad konsesi bulanan, atau pas My50/My100 yang baru sahaja diperkenalkan pada awal tahun ini. Bermakna, sebarang pembayaran tunai tidak lagi diterima ketika ingin menaiki bas RapidKL ini.

Antara laluan yang terkesan ialah laluan yang berada di koridor Ampang, Cheras, Sungai Besi, dan Jalan Klang Lama. Bagi pengguna yang bergerak melalui koridor Damansara, Jalan Ipoh, Jalan Pahang, dan Lebuhraya Persekutuan turut terkesan dengan perlaksanaan ini.

Untuk mengurangkan kejutan kepada pengguna, perlaksanaan ini akan diperkenalkan secara berperingkat terlebih dahulu. Berikut adalah jangka masa mengikut lokasi dan tarikh mula perlaksanaannya.

  • Ampang – 15 April 2019
  • Cheras, Sungai Besi & Jalan Klang Lama – 29 April 2019
  • Damansara, Jalan Ipoh & Jalan Pahang – 13 Mei 2019
  • Lebuhraya Persekutuan – 27 Mei 2019

Jadi bagi anda yang ingin menggunakan perkhidmatan bas RapidKL, anda dinasihatkan untuk mendapatkan kad Touch N’ Go atau sebarang pas bulanan yang sedia ditawarkan oleh pihak RapidKL.


Komen ()