Sejak Apple memperkenalkan Apple AirPods, trend pengeluar lain hadir dengan set fon telinga nirwayar sebenar semakin menjadi-jadi. Terkini, Nubia telah melancarkan Nubia Pods. Set fon telinga nirwayar sebenar tersendiri, tetapi dihasilkan oleh Xiaomi.
Nubia bekerjasama dengan 1More untuk hasilkan aksesori audio ini. 1More adalah antara syarikat yang dipegang Xiaomi dan juga merupakan syarikat yang menghasilkan aksesori-aksesori audio Xiaomi. Nubia Pods ini sebenarnya adalah penjenamaan semula 1More Stylish, tetapi dengan spesfikasi yang ditambahbaik. Nubia Pods hadir dengan kerangka kuasa hitam dan pilihan set fon telinga berwarna hitam atau emas. Ia hadir dengan teknologi Bluetooth 5.0 dan menyokong sistem audio Qualcomm aptX dan AAC HD.
Nubia Pods ini juga mempunyai perlindungan kalis peluh, antena LDS custom untuk tambatan tanpa gangguan isyarat dan juga driver 7mm dengan bahan komposit titanium. Turut terbina adalah butang mengawal muzik dan panggilan telefon pada setiap fon telinga. Sayang sekali, butang-butang ini tidak boleh digunakan untuk menyeru pembantu maya.
Bateri pada fon telinga adalah 55mAh dan 410mAh pada kerangka kuasa. Nubia mengatakan bateri boleh bertahan selama 6.5 jam dan masa pengecasan adalah 85 minit. Harga jualan adalah RMB799, iaitu sekitar RM485 sahaja.