Teknologi kamera pada telefon pintar semakin tahun semakin menakjubkan. Huawei P30 Pro yang baru sahaja dilancarkan mampu melakukan zum 50X , mempunyai lensa sudut ultra lebar dan tahap ISO mencecah 409600. Ini adalah lebih tinggi berbanding kebanyakan kamera digital yang dikeluarkan oleh syarikat seperti Sony, Canon dan Nikon.
Menurut laporan terkini Japan Camera & Imaging Products Association (CIPA), jualan kamera digital global pada bulan Februari 2019 menjunam -3o% berbanding jualan pada bulan Februari 2018. Ini adalah merisaukan industri kamera digital Jepun kerana ia sekali lagi menunjukkan penurunan berbanding tahun 2017. Seperkara lagi yang menarik ialah pada tahun 2017 dan 2018, perbezaan jualan antara bulan Jan dan Feb adalah kecil. Pada tahun ini ia menunjukkan penurunan sebanyak 7%. Trend penurunan jualan ini dapat dilihat pada kedua-dua segmen kamera dengan kamera boleh ditukar dan juga lensa tetap.
Memang tidak dapat dinafikan kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera nircermin misalnya adalah jauh lebih baik berbanding telefon pintar. Tetapi majoriti pengguna hanya ingin berkongsi gambar di media sosial di mana resolusi yang tinggi tidak diperlukan. Ini membuatkan penggunaan telefon pintar sahaja sudah memadai bagi pengguna sekaligus menyebabkan jualan kamera digital terjejas teruk.